Antara barang rampasan hasil kejayaan tangkapan Sindiket Perjudian Warga Asing hasil dari operasi khas di Bahagian Perisikan Khas, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 30 MAC 2023.

PUTRAJAYA — Satu sindiket perjudian dalam talian didalangi warga asing yang berselindung di sebalik premis pusat snuker berjaya ditumpaskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Kegiatan yang aktif meraih keuntungan sehingga RM1.5 juta setahun itu dibongkar Bahagian Perisikan dan Operasi JIM dalam beberapa serbuan pada 28 hingga 29 Mac lalu, di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, dalam serbuan hasil risikan yang dilakukan selama sebulan berjaya menahan 15 warga asing termasuk seorang lelaki warga tempatan yang dipercayai sebagai ‘penjaga’ premis berkenaan.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh menunjukkan barang rampasan dalam satu Sindiket Perjudian Warga Asing hasil dari operasi khas di Bahagian Perisikan Khas Imigresen, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 30 MAC 2023.

“Dalam serbuan pertama pada 28 Mac, pasukan telah menyerbu sebuah premis yang berselindung di sebalik perniagaan snuker.

“Premis itu menyediakan bilik rahsia yang diubahsuai sebagai pusat perjudian bagi mengaburi mata pihak penguatkuasa, dan pelanggan yang ingin memasuki bilik rahsia berkenaan mesti mempunyai kod rahsia yang ditetapkan sindiket.

“Hasil serbuan ini, kami menahan tiga lelaki warga Indonesia, seorang lelaki warga Bangladesh dan dua wanita warga Indonesia berusia antara 25 hingga 40 tahun yang tidak memiliki pas bekerja sah sebagai operator mesin perjudian,” katanya pada sidang media di Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM, di sini, hari ini.

Wang tunai antara barang rampasan hasil kejayaan tangkapan Sindiket Perjudian Warga Asing hasil dari operasi khas di Bahagian Perisikan Khas, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 30 MAC 2023.

Ruslin berkata, dalam serbuan kedua pada keesokan harinya di tiga lokasi di sekitar Kuala Lumpur menahan dalang utama sindiket terbabit iaitu seorang lelaki berusia 40 tahun warga Bangladesh yang memiliki Pas Lawatan Sosial, suami kepada warga tempatan.

Jelas beliau, dalang utama itu juga mempunyai syarikat perkhidmatan ‘cleaner’ yang beroperasi hampir dua tahun.

“Turut ditahan enam lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki warga Nepal dan seorang perempuan warga Indonesia yang berusia antara 25 hingga 40 tahun yang bekerja sebagai operator mesin judi di premis tersebut,” katanya.

Antara barang rampasan hasil kejayaan tangkapan Sindiket Perjudian Warga Asing hasil dari operasi khas di Bahagian Perisikan Khas, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 30 MAC 2023.

Menurut Ruslin, dalam operasi khas ini, pihaknya berjaya merampas 26 komputer riba, 20 set komputer, 37 naskhah pasport terdiri dari Bangladesh, Pakistan, Indonesia, Myanmar dan India serta wang tunai sebanyak RM114,450 dipercayai hasil aktiviti perjudian.

“Berdasarkan jumlah wang tunai yang dirampas, kami percaya sindiket ini mampu meraih keuntungan sekitar RM1.3 hingga RM1.5 juta setahun.

“Kesemua warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di depot Imigresen.

“Seorang lelaki warga tempatan telah dihadapkan ke mahkanah untuk perintah tahanan reman selama tiga hari di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah untuk siasatan lanjut,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Ruslin berkata Imigresen akan terus melakukan operasi bagi mengesan saki-baki rangkaian sindiket terbabit berdasarkan penemuan pasport individu lain di dalam operasi itu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast