Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menurunkan tandatangan pada dokumen pelantikan sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 pada Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka ke-13 di Dewan Seri Negeri Ayer Keroh, Melaka. Foto MUHD NA’IM, 31 MAC 2023.

MELAKA – Ketua Menteri Ke-13 yang baharu dilantik, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan melantik 10 barisan Exco kerajaan negeri baharu dalam tempoh 48 jam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara itu berkata, ketika ini terdapat 21 daripada 26 kerusi DUN dimenangi Barisan Nasional (BN) dan pembahagian 10 jawatan itu akan dibuat dalam kalangan mereka.

“Barisan baharu Exco kita akan putuskan dalam masa terdekat, dalam tempoh 48 jam kerana tak boleh lama-lama, negeri nak berjalan.

“Saya akan rujuk Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid) dahulu untuk dapatkan apakah hala tuju kemudian saya akan mengambil petua tersebut untuk merangka Exco Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengangkat sumpah menjadi Ketua Menteri Melaka Ke-13 pada Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Melaka ke-13 di Dewan Seri Utama Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka Ayer Keroh hari ini.

Ditanya adakah beliau akan mengadakan perbincangan dengan PH negeri mengenai pembahagian Exco, Ab Rauf  belum mendapat sebarang panduan mengenai perkara itu daripada Timbalan Perdana Menteri.

“Nanti saya uruskan, saya baru angkat sumpah tak sampai 10 minit, Exco kita kekal 10 orang, blok yang menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) hari itu 21 kerusi, jadi pandai-pandailah kira,” katanya. – MalaysiaGazette