KUALA LUMPUR – Penyerang Kuala Lumpur City FC, Herlison Caion mahu mendapatkan jaringan sulung peribadinya menentang Selangor FC malam ini yang akan menjadi pertembungan tumpuan ‘Derby’ Lembah Klang dalam aksi Liga Super 2023.
Selepas empat perlawanan, Caion masih buntu mencari gol pertamanya bersama Kuala Lumpur dan ini adalah masa terbaik untuknya memburu jaringan sulung apatah lagi bakal berdepan bekas pasukannya itu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
Pemain kelahiran Brazil ini tidak menolak banyak pengalaman manis telah diraih ketika bersama Selangor musim lalu di mana ia akan menjadi pertembungan cukup menarik untuknya cuba membantu Kuala Lumpur pula kali ini.
Meskipun mengetahui kekuatan dan kelemahan skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu, Caion tetap tidak ambil mudah dan percaya setiap pasukan hadir dengan percaturan yang berbeza.
“Sudah tentu, satu musim saya di sana (Selangor), saya tahu sedikit sebanyak mengenai pasukan itu dan saya akan cuba bantu sebaik mungkin untuk memberikan sesuatu kepada Kuala Lumpur.
“Dengan pasukan baru, pastinya bukan mudah untuk saya sesuaikan diri dan saya memang kena lebih usaha untuk cuba bantu pasukan apatah lagi ini adalah perlawanan ‘Derby’ Lembah Klang.
“Memang saya ada banyak kenangan manis dengan Selangor dan saya berjaya jaringkan banyak gol bersama mereka, tetapi kali ini saya ingin lakukan bersama Kuala Lumpur pula.
“Saya sebagai penyerang, mesti la saya nak menjaringkan gol dan saya sedar tugas untuk pasukan ini di mana sebelum ini saya datang dengan pencapaian yang baik, jadi saya kena teruskan dapat pencapaian yang bagus itu,” jelasnya.
Sementara itu, pengendali Kuala Lumpur, Bojan Hodak kini begitu menekankan aspek penyudah dalam latihan yang sentiasa menjadi kelemahan ketara pasukan selain perlu elak dari bolos terlalu banyak jaringan.
Cabaran lebih tinggi apabila beliau juga kehilangan beberapa tonggak utama susulan kecederaan dan kini meletakkan harapan kepada barisan pemain lain untuk bersedia.
“Kevin (Mendoza) masih cedera daripada dua perlawanan lepas, Akram (Mahinan) juga baru lepas menjalani pembedahan dan masih belum sedia untuk diturunkan manakala Sebastian Avanzini pula digantung.
“Mereka ini semua yang ada dalam kesebelasan utama, jadi sudah tentu ia memberi kesan tetapi pemain-pemain juga kena bersedia dan masalah kita yang ketara sekarang ini adalah penyudah.
“Sebelum ini pun kita dah bolos banyak gol berbanding musim lepas, dan kali ini pemain-pemain perlu memberikan segalanya di atas padang,” katanya.
Selain aksi antara Kuala Lumpur dan Selangor, tiga lagi perlawanan turut berlangsung malam ini membabitkan aksi Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Sabah FC, Terengganu FC lawan Kelantan United FC dan Penang FC yang menerima kunjungan Perak FC. – MalaysiaGazette