Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di Kementerian Komunikasi dan Digital, Presint 4, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 03 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menyifatkan laporan berita bahawa Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka naik pada Julai sebagai fitnah kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dan kerajaan.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, beliau akan bertemu dengan pengurusan media terbabit hari ini.

“Post Berita Harian Online ini jadi fitnah terhadap Bank Negara dan Kerajaan. Saya akan jumpa pengurusan BH hari ini, insya-Allah,” katanya ringkas di media sosial.

Dalam ruangan komen pada hantaran berita tersebut, Fahmi  menyatakan artikel berkenaan memaparkan jangkaan tersebut dibuat oleh penganalisis.

Menurutnya, keputusan itu tidak dilakukan sama ada oleh BNM atau kerajaan.

“Ini fitnah. Rencana dengan jelas kata ini pandangan penganalisis, bukan keputusan Bank Negara mahupun kerajaan.

Berita Harian Online wajib betulkan dan jelaskan.” katanya dalam ruangan komen itu.

Sementara itu, tinjuan mendapati sehingga 10.30 pagi ini artikel tersebut masih dipaparkan dalam portal berita berkenaan.

Berita bertajuk ‘OPR dijangka naik sekali lagi seawal Julai’ itu memaparkan pandangan Ketua Penyelidik/Ketua Ahli Ekonomi Affin Hwang Capital, Alan Tan.

Penganalisis ekonomi itu menjangkakan BNM sekali lagi akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata peratusan seawal Julai ini.

Jangkaan itu dibuat bersandarkan kepada unjuran perkembangan ekonomi dipacu permintaan domestik yang kukuh berikutan pemulihan pekerjaan dan paras pendapatan lebih baik.

Ia juga akan mengambil kira kadar inflasi yang dijangka kekal tinggi walaupun mula menyederhana tahun ini.

BNM dalam Laporan Tahunan 2022, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2022 serta Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2022, mengunjurkan ekonomi negara berkembang antara 4.0 peratus dan 5.0 peratus bagi 2023, dipacu permintaan domestik meskipun persekitaran luaran mencabar, sementara kadar inflasi sekitar 2.8 peratus hingga 3.8 peratus.

Alan Tan berkata, pihaknya percaya BNM belum selesai dengan normalisasi dasar monetari pada 2023.

Tambahnya, sebarang kenaikan OPR menuju ke hadapan akan terukur dan beransur-ansur, yang mana kemungkinan satu lagi kenaikan 25 mata asas kepada 3.0 peratus pada suku ketiga 2023.

“Kami percaya BNM belum selesai dengan normalisasi dasar monetari pada 2023. Kemungkinan kenaikan 25 mata asas pada suku ketiga dan berhenti selepas itu bagi 2023,” katanya dalam nota satu penyelidikan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast