Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. Foto AFFAN FAUZI, 03 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) mengecam tindakan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang menyelar laporan analisis Berita Harian (BH) mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) bertarikh 30 Mac 2023.

Presidennya, Farah Marshita Abdul Patah berkata, sebagai menteri berkaitan media, Fahmi sepatutnya memahami dan peka amalan dan tugas media.

Tegasnya, laporan akhbar tersebut berdasarkan ramalan OPR yang memetik pakar kewangan.

Jelasnya lagi, adalah menjadi amalan media seluruh dunia untuk menyiarkan berita berdasarkan pendapat dan unjuran pakar industri.

“Tindakan beliau (Fahmi) bukan sahaja menjejaskan laporan BH, malah komen yang ditulis dengan menggelar laporan itu sebagai “fitnah” dan pembohongan telah menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan pembaca terhadap media.

“Komen yang dibuat oleh menteri juga dilaporkan oleh portal, Malaysia Now bertajuk, “Fahmi naik angin atas laporan kemungkinan kenaikan OPR,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam masa yang sama, Farah mempertikaikan kebebasan media yang sepatutnya diperjuangkan oleh kerajaan baharu sekarang.

“Di manakah kebebasan akhbar seperti yang dijanjikan oleh kerajaan baharu jika ‘menteri’ media sendiri melabelkan artikel oleh media tempatan mengenai unjuran kewangan sebagai “fitnah”.

“NUJM berharap menteri dapat memahami dengan lebih mendalam cara kerja dan penulisan media tempatan sebagai sumber berita yang boleh dipercayai, bertanggungjawab dan kredible,” katanya lagi.

Difahamkan, ekoran laporan berkenaan, pengarang-pengarang BH telah dipanggil ke pejabat Fahmi hari ini.

Sementara itu, Fahmi menerusi hantarannya di Facebook mengakui tidak mempunyai masalah terhadap laporan berita akhbar berkenaan.

Namun beliau berpendirian ia tidak adil untuk kerajaan dan Bank Negara Malaysia kerana hantaran BH di Facebook seolah-olah menggambarkan ia telah dimuktamadkan.

“Tetapi post FB itu jauh berbeza kerana memberi gambaran seolah-olah Bank Negara atau kerajaan telah membuat keputusan. Ini tidak benar dan tidak adil kepada Bank Negara dan kerajaan.

“Pengurusan BH faham apa yang saya maksudkan dalam hal ini dan telah bersetuju untuk membetulkan post tersebut. Saya ingin ucapkan terima kasih kepada pasukan pengurusan di atas kerjasama ini,” katanya.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Menteri sifatkan berita OPR dijangka naik pada Julai sebagai fitnah

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast