KUALA LUMPUR – Madoo Bee Marketing Sdn. Bhd, pengeluar produk madu jenama Madoo Bee meletakkan sasaran dapat memasarkan 150,000 unit produk sepanjang tahun ini dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan di negara ini.
Pengasas bersama, Nik Afiq Muhaimin Sarmidi berkata, impian itu mampu direalisasikan memandang syarikat kini memiliki 10 stokis termasuk dari Kelantan, Terengganu, Kuala Lumpur dan Selangor.
“Kami mensasarkan untuk memiliki lebih ramai stokis dan ejen di seluruh negara bagi membuka peluang bisnes kepada mereka yang berminat.
“Bagi melahirkan usahawan berjaya, kami akan memberi bimbingan kepada mereka termasuk cara memasarkan produk secara dalam talian.
“Kami berharap dapat berkongsi rezeki dengan orang ramai dalam usaha mengubah nasib hidup bagi menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain Nik Afiq, Madoo Bee diasaskan oleh dua kagi sahabat iaitu Muhammad Kamal Azmi Mohd Rasdin dan Ahmad Najib Ismail.
Idea menghasilkan produk berasaskan madu lebah tercetus sejak September tahun lalu selepas mereka bertekad untuk membantu orang ramai menjadi usahawan.
Mengulas lanjut, Nik Afiq memberitahu, Madoo Bee dihasilkan dengan kombinasi tiga bahan utama antaranya madu lebah, bawang putih dan lemon.
Katanya, penggunaan madu lebah berikutan ramai masyarakat yang menggemari makanan itu tidak kira dari usia kanak-kanak sehingga golongan dewasa.
“Kami menggunakan lebah biasa kerana ia bekalannya mudah diperolehi berbanding madu lebah tualang atau kelulut. Namun, madu lebah ini juga mempunyai khasiatnya tersendiri di samping dicampur bersama bawang putih dan lemon.
“Lebih menarik apabila bungkusannya kecil dan mudah dibawa serta dimakan,” katanya.
Sementara itu, syarikat juga telah membuka premis Madoo Bee pertama di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini. – MalaysiaGazette