al aqsa zionis
Masjid Al-Aqsa (Gambar: Facebook)

KUALA LUMPUR – Tindakan rejim Zionis Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa baru-baru ini telah menghina sensitiviti agama lebih 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia.

Kaukus Palestin Parlimen Malaysia berkata, perbuatan puak pelampau Zionis Yahudi yang dilindungi oleh polis Israel itu juga telah mencabuli hak asasi kebebasan beragama atau berkepercayaan rakyat Palestin.

Sehubungan itu, kaukus berkenaan mengecam sekeras-kerasnya serbuan tersebut yang dilakukan dalam bulan Ramadan yang mulia.

“Penggunaan kuasa sembarangan oleh tentera rejim aparteid penjajah Israel ke atas rakyat Palestin yang tidak berdaya adalah berlawanan dengan semua norma dan perundangan kemanusiaan dan hak asasi manusia.

“Dengan melakukan serbuan haram maka Israel telah memungkiri janji terkininya untuk menghormati bulan mulia Ramadan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kaukus tersebut dianggotai oleh Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh serta Datuk Seri Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Young Syefura Othman (Bentong), Syahredzan Johan (Bangi), Abdul Latiff Abdul Rahman (Kuala Krai), Datuk Seri Doris Sophia Brodi (Sri Aman), Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik), Mohamad Shafizan Kepli (Batang Lupar), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Howard Lee Chuan How (Ipoh Timor) dan Zakri Hassan (Kangar).

Dalam mesyuarat pertamanya kelmarin, kaukus yang baru dibentuk itu menyeru keamanan, kebebasan dan keadilan untuk Palestin dan rakyatnya serta menggesa masyarakat antarabangsa dan Ahli-ahli Parlimen seluruh dunia untuk mengambil tindakan segera menghentikan pelanggaran Israel yang kian meningkat sepanjang tahun ini.

Menurut kaukus berkenaan, komitmen terhadap perjuangan Palestin tidak berbelah bahagi dan anggota-anggotanya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan suara rakyat Palestin didengari dan hak mereka dihormati.

“Kaukus ini akan melaksanakan beberapa strategi dan tindakan bersama pihak berkepentingan dalam usaha mencapai hak, kebebasan dan keadilan untuk Palestin,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast