KUALA LUMPUR – Datin Seri Nur Shahida, isteri kepada usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri memohon netizen agar tidak melibatkan dirinya dalam isu lagu raya terbaharu suaminya.
Menerusi hantaran di akaun Instagram miliknya, Shahida berkata, dia tidak mahu diganggu dengan perkara-perkara yang tidak melibatkan dirinya dan anak-anak.
Sementara itu, Shahida juga mengakui sudah menasihatkan suaminya berkali-kali namun masih berdegil.
“Orang lain makan nangka orang lain kena getah… Sebagai orang yang dekat, saya dah nasihat dan dia bukan budak-budak yang saya kena pantau.
“Dah besar dan boleh fikir baik dan buruk. Jangan mengganggu ketenteraman saya dan anak-anak saya,” jelasnya yang sedang sarat hamil.
Terdahulu, Aliff Syukri sekali lagi mengundang rasa kurang senang netizen selepas memuat naik video teaser lagu raya terbaharunya.
Video itu merakamkan penampilan Aliff memakai set baju lengkap berwarna biru yang ketat terutamanya di bahagian kaki dan bersampin.
Manakala di belakangnya pula menunjukkan beberapa penari lelaki berpenampilan sama seperti membuat tarian yang mengundang kemarahan netizen. – MalaysiaGazette