KUALA LUMPUR – Peniaga bukan Islam yang menjual makanan tidak halal turut tertarik untuk menyediakan Menu Rahman yang menawarkan harga yang berpatutan kepada pelanggan mereka.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, Menu Rahmah tidak halal buat julung kali diperkenalkan di Johor.
“Inisiatif ini bertepatan dengan prinsip Hifz an-Nafs, iaitu memelihara persaudaraan, kesaksamaan, dan menyantuni semua tanpa mengira kaum dan agama,” kata Salahuddin.
Katanya, sebanyak 49 buah kedai di Johor menyahut baik inisiatif tersebut dengan menawarkan Menu Rahmah tidak halal di kedai mereka untuk pelanggan bukan Islam.
Makanan bermasak yang seimbang itu dijual dengan harga RM5 dan ke bawah.
“Antara menu makanan yang ditawarkan termasuklah makanan laut, kepak ayam, mi sup, burger, lobak putih goreng, manisan, dan banyak lagi.
“Orang ramai boleh melayari portal Menu Rahmah di laman web KPDN untuk mendapatkan lokasi premis-premis yang menjual Menu Rahmah.
“Semoga dengan berita ini, lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati inisiatif Rahmah ini,” kata Salahuddin dalam kenyataan.
KPDN melancarkan Menu Rahmah sejak Februari lalu yang diperkenalkan di bawah Payung Rahmah untuk meringankan beban dan amat bermakna kepada mereka yang memerlukan.
Inisiatif itu mendapat sambutan baik daripada rakyat dan peniaga termasuk rangkaian makanan segera serta gerai-gerai di hentian Rehat dan Rawat (RnR) di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). – MalaysiaGazette