KUALA LUMPUR – Persidangan Dewan Rakyat hari ini diteruskan dengan beberapa rang undang-undang (RJUU) yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua termasuk Rang Undang-Undang Kewangan 2023.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat di laman rasmi Parlimen, rang undang-undang yang dijangka dibentang dan dibahaskan adalah Rang Undang-Undang Levi Keuntungan Luar Biasa (Pengesahan) 2023 dan Rang Undang-Undang Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023.
Turut dijangka dibentangkan Rang Undang-Undang Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2023, serta Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2023.
Pada 28 Februari lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul memaklumkan persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen Ke-15 ditambah dua hari lagi iaitu pada 3 dan 4 April, menjadikan tempoh bersidang keseluruhan selama 31 hari.
Keputusan itu dibuat bagi membolehkan beberapa rang undang-undang dan urusan kerajaan dapat dibentangkan dan diputuskan di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette