KUALA LUMPUR – Pakar kesihatan, Dr Rafidah Abdullah memohon maaf kepada pempengaruh media sosial, Khairul Aming atas kenyataan yang telah disalah tafsir mengenai isu tidak mengutamakan kesihatan dalam masakan.
“Saya mohon maaf kerana saya nampak ramai yang salah anggap yang saya menuduh Khairul Aming merosakkan kesihatan rakyat Malaysia dan dua ayat terakhir saya sepatutnya di perenggan yang lain.
“Bagaimanapun, harapan saya video atau content mana-mana influencer ada tertera kandungan kalori,” ujarnya dalam ciapan di Twitter.
Mengulas lanjut, beliau tidak menuduh sesiapa sebaliknya kesihatan adalah tanggungjawab diri individu.
“Saya tidak menuduh siapa pun. Kesihatan anda adalah tanggungjawab diri anda. Tapi saya perlu memberi pendapat profesional saya tentang apa yang saya lihat.
“Alhamdulillah sekarang ramai sudah sedar sambal sangat banyak kalori. Nak makan, makan secubit dua sudah memadai,” tambahnya.
Terdahulu, tular di Twitter apabila Dr. Rafidah menasihati Khairul Aming untuk mengurangkan penggunaan minyak dalam masakan dan memperbanyakkan resipi masakan yang sihat.
Beliau gusar penggunaan minyak masak yang banyak mampu mempengahruhi kesihatan masyarakat Malaysia yang rata-rata mengikuti perkembangan Khairul Aming menerusi video masakan 30 hari, 30 resipi bersempena bulan Ramadan.
Dr. Rafidah menambah, kebanyakan pesakit yang beliau rawati mempunyai masalah kesihatan kronik hasil dari amalan pemakanan yang tidak sihat.
“Ya, memang ramai pesakit kronik yang saya rawat. Rata-rata menyesal dengan pilihan gaya hidup termasuk makanan mereka dari awal, saya hanya berniat memberi kesedaran, tidak lebih dari Itu,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette