JASIN – “Aidilfitri tahun ini, mungkin tidak disambut bagi kami sekeluarga kerana memikirkan kos rawatan suami di Hospital Al Shefa Syarif Mansour di Mekah yang masih belum dapat dijelaskan berjumlah hampir RM150,000,”.
Itu diluahkan Jaliah Yusof, 62, mengenai nasib suaminya, Kamis Ahmad, 67, yang kini terpaksa ditahan di hospital berkenaan kerana belum menjelaskan bil rawatan akibat serangan jantung pada 14 Mac lalu.
Menceritakan kejadian, pesara guru itu berkata, dia dan suami serta empat lagi ahli keluarga lain berangkat ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah buat pertama kali pada 5 Mac dan sepatutnya pulang pada 15 Mac lalu.
Bagaimanapun jelasnya, sehari sebelum pulang, suaminya tiba-tiba mengalami serangan jantung sehingga terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Al Shefa Syarif Mansour selama lapan hari sehingga 22 Mac.
“Sebelum mengerjakan umrah, suami sudah mendapat nasihat doktor di Institut Jantung Negara (IJN) yang membenarkannya ke Mekah dengan syarat mengambil segala ubat preskripsi ditetapkan.
“Tak sangka pula, suami mengalami serangan jantung di Mekah sehingga terpaksa dimasukkan ke wad ICU, namun telah dipindahkan ke wad biasa sejak 22 Mac sehingga ke hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Jaliah berkata, suaminya bagaimanapun tidak dibenarkan keluar daripada hospital dan ditempatkan di wad biasa kerana tidak mampu menjelaskan bil rawatan berjumlah hampir RM150,000.
“Setakat ini, kami hanya dapat mengumpul RM15,000 menggunakan simpanan selain bantuan kenalan dan rakyat Malaysia yang prihatin.
“Ikutkan hati, memang sedih tapi saya sedar tidak boleh terus melayani perasaan kerana perlu berusaha untuk cari baki lebih RM135,000 lagi untuk bawa pulang suami.
“Saya harap sempena kemuliaan Ramadan ini dapat membuka hati orang ramai untuk membantu usaha saya ini sebelum menjelang Aidilfitri,” katanya.
Sementara itu, ujian dihadapi Jaliah yang berasal dari Felda Kemendor turut mendapat perhatian Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh yang melancarkan tabung sumbangan di semua peringkat dan sayap-sayap bahagian UMNO bagi membantu keluarga berkenaan.
“Selain itu, saya juga akan berjumpa dengan Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir untuk melihat sama ada di pihak Kedutaan adakah kita boleh berunding dengan pihak hospital untuk keluarkan sementara pakcik Kamis yang sudah sihat.
“Apa yang penting, kita tak mahu bil hospital itu terus meningkat dan terus membebankan keluarga,” katanya.
Mereka yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank anaknya, Syahmi Amar di nombor 554035429281 atau menghubungi Jaliah di nombor 013-7255212 untuk pertanyaan lanjut. – MalaysiaGazette.