Mohamed Khaled mengadakan lawatan kerja di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN –  Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan tidak berminat melakukan ‘kepolisan pendidikan’ serta menjadi ‘polis universiti’ untuk mengawal soal aktiviti politik di mana-mana kampus.

Selain itu, Menteri KPT, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut mengulangi pendirian tidak menghalang mana-mana parti politik memasuki universiti kerana kemasukan itu tertakluk di bawah kuasa Naib Canselor selaku ‘tuan rumah’.

Mohamed Khaled.

“Saya tidak pernah kawal universiti tapi kalau nak masuk tanya kebenaran Naib Canselor universiti masing-masing sebab nak masuk rumah orang kenalah minta izin.

“Sebelum ini saya sudah beritahu dan tekankan KPT tidak berminat melakukan educational policing, kita kena faham perkara ini saya bukan polis mahu menjaga universiti,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohamed Khaled berkata, parti politik tidak dibenarkan menubuhkan cawangan di universiti kerana matlamat KPT adalah untuk melahirkan graduan yang mempunyai kekuatan pemikiran dan tidak terlalu taksub kepada satu aliran pemikiran sahaja.

Mohamed Khaled menegaskan pihaknya tidak menghalang kemasukan ahli politik di mana-mana kampus.

“Semasa perbahasan di Parlimen, mereka secara konsensus bersetuju bukan sesuatu yang wajar untuk benarkan parti politik wujud di universiti.

“Kita tidak mahu daripada awal graduan taksub kepada satu pemikiran kerana kita nak bangunkan kesarjanaan universiti.

“Katakanlah dekat luar sudah toksik, kita bergantung kepada universiti supaya betulkan keadaan di luar,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled mengalu-alukan keputusan USM untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji agenda Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) yang telah memasuki usia 15 tahun sejak menerima pengiktirafan tersebut pada 2008. – MalaysiaGazette