Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam kerana disyaki membuat hantaran berbaur ugutan dan perkauman dalam laman Facebook miliknya.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, berkata, suspek berusia 48 tahun itu disyaki membuat hantaran berbaur ugutan dan perkauman pada 23 Mac lalu.

Tambah beliau, permohonan reman terhadap suspek telah dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Suspek sedang disiasat di bawah Seksyen 506 dan 505(c) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Noorsiah, tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang sengaja mengancam ketenteraman dan keselamatan awam. – MalaysiaGazette