Zaid Najib RM42 juta
Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Peguam, Datuk Zaid Ibrahim berpandangan, mahkamah tidak seharusnya menyekat hak tertuduh untuk menukar peguam, seperti yang dialami oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam prosiding rayuan akhir kes SRC International pada 23 Ogos lalu.

Pada masa yang sama, beliau juga percaya bahawa peguam sewajarnya dibenarkan menarik diri daripada mewakili anak guamnya di mahkamah.

Zaid berkata, Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa tertuduh perlu mendapatkan peguam untuk membela dirinya.

“Masalah hari ini ialah mahkamah dan sesetengah hakim sendiri yang menentukan sama ada wajar atau tidak seseorang yang dituduh itu tukar peguam.

“Tidak semua hakim itu macam Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli, tidak semua hakim faham masalah di bawah sini, masalah di antara anak guam dan peguam,” katanya seperti dipetik daripada rakaman video yang disiarkan dalam laman Facebook miliknya, baru-baru ini.

Abdul Rahman dalam penghakimannya terhadap permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Persekutuan Jumaat lalu menyatakan, panel Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum ini mungkin tidak berlaku adil terhadap Najib semasa ia mendengar dan menolak rayuan beliau terhadap sabitan serta hukuman dalam kes SRC International apabila Najib tidak diwakili secara sah.

Beliau yang mempengerusikan panel lima hakim Mahkamah Persekutuan semalam itu berkata, sehubungan itu berpendapat bahawa keputusan yang wajar diberikan terhadap Najib adalah dibebas dan dilepaskan.

Selaku hakim tunggal yang menentang keputusan majoriti menolak rayuan Najib, Abdul Rahman juga berpendapat, panel terdahulu juga tersilap apabila menghalang Datuk Hisyam Teh Poh Teik daripada menarik diri daripada bertindak sebagai peguam bela Najib.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada permohonan Najib untuk menyemak keputusan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Dalam penghakiman majoriti 4-1, empat hakim yang menolak permohonan bekas perdana menteri itu ialah hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan dan hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais.

Najib, 69, yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang, telah memohon untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Zaid menambah, anak guam termasuk Najib berdepan kesukaran untuk menukar peguam dan mahkamah tidak memberi kebenaran berbuat demikian walaupun permohonan dibuat hanya sekali dalam tempoh lebih empat tahun.

“Atau diberi tetapi disuruh mulakan kes itu terus. Mana boleh buat dalam tiga minggu, itu seolah-olah macam dia tak bagi tukar peguam,” jelasnya.

Beliau berpandangan, keadaan menjadi rumit apabila peguam ingin menarik diri daripada mewakili anak guamnya kerana perkara itu memerlukan persetujuan mahkamah terlebih dahulu.

“Kalau peguam tidak mahu terus mewakili anak guam biarlah haknya itu diberi. Orang yang buat keputusan di atas kadang-kadang tak faham masalah.

“Kadang-kadang masalah kita dengan anak guam ini macam-macam, jadi jangan sekatlah dia nak tarik diri,” katanya.

Zaid menegaskan, Najib sepatutnya diberi peguam untuk membela dirinya dan mahkamah tidak seharusnya memberi alasan dan merumitkan proses tersebut.

“Mahkamah tidak boleh menyekat hak ini dan ini penting kerajaan bertindak kerana serah kepada budi bicara mahkamah ini risikonya tinggi sebab ini perkara asas hak kita untuk mendapatkan peguam.

“Budi bicara ni kadang-kadang boleh diguna pakai dengan baik tetapi kadang-kadang tidak diguna pakai dengan baik,” jelasnya.

Beliau berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bertindak agar isu yang dihadapi oleh Najib tidak akan berlaku ke atas individu lain.

Zaid mencadangkan kepada Anwar agar berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said serta menteri-menteri yang berkaitan agar merangka dasar dan undang-undang baharu bagi menangani isu tersebut.

Beliau juga percaya Anwar merupakan individu yang paling memahami kesusahan, kerumitan dan kepincangan sistem pentadbiran undang-undang di negara ini.

“Selama 20 tahun dia merasainya, jadi saya percaya apa yang saya katakan itu dia faham,” katanya. – MalaysiaGazette