Pemandu teksi, Noorazlan Ismail yang berjalan kaki dari Skudai, Johor Bahru bercakap kepada media selepas sesi serahan memorandum tuntutan rakyat berkaitan pengeluaran KWSP bersasar kepada YDP Agong di Pintu 3 Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Misi ‘gila’ pemandu teksi berusia 49 tahun yang nekad berjalan kaki dari Tol Skudai, Johor hingga Istana Negara, Kuala Lumpur akhirnya terlaksana hari ini.

Norazlan Ismail berjaya tiba selepas mengharungi perjalanan sejauh 312 kilometer (KM) kira-kira enam hari bagi membawa misi pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bapa kepada lima orang anak itu tiba di Pintu 3, Istana Negara pada pukul 11.03 pagi ditemani oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Seri Wan Saiful Wan Jan dengan menaiki sebuah kenderaan.

Katanya, akibat desakan hidup untuk meneruskan kelangsungan hidup, mendorongnya nekad untuk melakukan misi itu bagi membuka mata pemimpin tentang keperitan hidup rakyat marhaen sepertinya.

“Saya nampak cara ini merupakan satu jalan bagi orang bawahan macam saya yang sangat memerlukan pengeluaran caruman KWSP secara bersasar untuk menyelesaikan hutang.

“Saya bersyukur sepanjang perjalanan ramai yang ingin membantu, ada yang nak bagi duit, nak bagi tumpang, tapi saya tolak sebab itu bukan motif saya berjalan ini.

“Kalau saya tumpang orang, baik saya naik bas saja. Saya nak supaya benda ini pemimpin nampak dan syukur saya berjaya sampai.

“Malah saya juga dapat cenderahati dari Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) bermaksud walaupun tidak berjumpa tapi baginda tahu saya di sini,” katanya pada pemberita.

Pemandu teksi, Noorazlan Ismail yang berjalan kaki dari Skudai, Johor Bahru selepas sesi serahan memorandum tuntutan rakyat berkaitan pengeluaran KWSP bersasar kepada YDP Agong di Pintu 3 Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 APRIL 2023.

Norazlan berkata demikian ketika ditemui di Pintu 3, Istana Negara bersama Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Turut hadir wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

Antara NGO yang terlibat ialah Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIRM), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Global Human Right Federation.

Ditanya mengenai kesihatan dia sepanjang perjalanan menuju ke Kuala Lumpur, Noorazlan berkata, selain kaki yang melecet, dia bersyukur kerana diberi kesihatan yang baik untuk mengharungi misi mencabar itu.

“Alhamdulillah saya sihat, cuma kaki sedikit melecet. Perjalanan saya juga dipermudahkan dan ramai yang ingin membantu sepanjang enam hari tersebut.

“Ada sekali itu hujan waktu malam agak lebat dan terlalu sejuk tetapi tak ada jambatan berdekatan untuk saya berteduh tapi dengan semangat berkobar walaupun penat saya gagahkan diri, saya jalan juga.

“Ada juga yang pertikai kesihatan fizikal dan mental saya tapi jangan bimbang semangat saya bawa dengan izin anak-anak dan ibu bapa dari Johor,” jelasnya.

Pada 28 Mac lalu, Norazlan mencuri tumpuan negara apabila nekad melaksanakan misi berjalan kaki sejauh 312 KM dari Tol Skudai, Johor menuju ke Istana Negara.

Usaha itu dilakukannya, bagi membawa misi pengeluaran caruman KWSP supaya kepayahan rakyat disedari kerajaan terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dia kehilangan pekerjaan sebagai pemandu kepada individu bergelar Datuk di Johor Bahru, akibat penularan wabak Covid-19.

Lebih malang, selepas kehilang punca pendapatan, dia turut mengalami masalah rumah tangga yang menyebabkan dia terpaksa berpisah dengan isteri atas faktor kewangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.