Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Salleh bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Pemuda UMNO Malayia di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 04 APRIL 2023.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO yang baru mengambil pendirian untuk tidak membantah pelaksanaan cagaran wang dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dicadangkan kerajaan.

Ketuanya, Dr Akmal Salleh berkata, pihaknya akan mengemukakan cadangan penambahbaikan bagi pelaksanaan tersebut.

“Kita tidak bantah tetapi kita ada cadangan penambahbaikan yang kita akan umumkan tidak lama lagi,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn, di sini, hari ini.

Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata demikian menjawab pertanyaan media mengenai pendirian sayap UMNO itu mengenai tindakan Kerajaan Perpaduan membenarkan pencarum KWSP membuat pinjaman bank.

Ia jelas bertentangan dengan pendirian kepimpinan Pemuda UMNO terdahulu yang memohon kerajaan membenarkan pengeluaran wang KWSP secara besasar bagi membantu mengurangkan beban kewangan rakyat.

Dalam pada itu, Akmal mengulangi pendirian menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi memberikan keadilan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Akmal berkata, perkara itu mengambil kira hujah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli ketika mempengerusikan panel lima hakim dalam semakan kehakiman kes membabitkan dana SRC International Sdn. Bhd.

“Kita mohon agar satu RCI dapat ditubuhkan, kami tidak mahu mohon pengampunan dan pembebasan secara total.

“Datuk Seri Najib tidak mahu kami buat, beliau konsisten keadilan itu dapat dicapai dan cara terakhir adalah dengan penubuhan RCI, kami mohon agar kerajaan mendengar desakan kami dan kami akan hantar surat kepada Perdana Menteri,” katanya lagi.

Cadangan sama disuarakan Akmal pada Sabtu lalu bertujuan mendapatkan keadilan kepada Najib.

Panel lima hakim yang bersidang membabitkan Abdul Rahman bersama Datuk Vernon Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan serta Datuk Abu bakar Jais menolak semakan tersebut dengan majoriti 4-1.

Abdul Rahman dalam keputusannya menyifatkan Najib tidak mendapat keadilan sewajarnya apabila peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik tidak memaklumkan kepada panel hakim bahawa beliau tidak bersedia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Duit tunai KWSP dijadikan cagaran.
    Serupa simpan dalam tabung berjumlah RM 20K bila nak guna serahkan semua isi tabung tu buat cagaran pinjaman tunai RM 5K.
    Yuran proses yuran perjanjian yuran stamps dan pelbagai yuran lagi akan ditambah dalam pinjaman termasuk bunga.
    Rakyat yang perlu KWSP kena tanya YB party ..NO ..NO yang berkuasa dalam Parliament kenapa #SOKONGMENYEKSARAKYAT kalau tanya ahli ..NO ..NO cuma ada jawatan party mereka akan temberang.
    Rakyat perlu bisik ke telinga ahli-ahli ..NO ..NO tu jangan bebal jangan bongok jangan bodoh kemudian hembus telinganya

Comments are closed.