GUA MUSANG – Lima lelaki berusia antara 45 hingga 50 tahun yang terperangkap akibat banjir kilat yang berlaku berdekatan Ibu Pejabat Polis (IPD) Gua Musang, berjaya diselamatkan pihak bomba, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Nor Azizi Che Noh berkata, kejadian berlaku apabila kenderaan Perodua Aruz yang dinaiki kesemua mangsa hanyut dibawa arus deras ketika cuba meredah jalan yang dinaiki air itu.
“Kami menerima panggilan pukul 2.15 petang tadi memaklumkan terdapat lima lelaki terperangkap dan berada di atas saluran pembentung selepas kereta yang dinaiki mereka dihanyutkan arus deras.
Kesemua mangsa sempat berpaut pada saluran pembentung dan terperangkap di tempat kejadian sebelum diselamatkan bomba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Nor Azizi berkata mangsa ditemukan berada di atas pembentung dalam keadaan kesejukan dan seorang mangsa hampir mengalami hypotermia.
“Kedalaman air di sekitar pembentung itu lebih dua meter dan anggota perlu berenang untuk mendapatkan mangsa dengan memakai ‘Personal Floating Device’ (PFD),” katanya. -BERNAMA