Pelanggan menghisap rokok di kedai makan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 MAC 2022.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan mengecam tindakan kerajaan membuang cecair nikotin daripada bahan kawalan di bawah Akta Racun sekali gus mengenakan cukai kepada penjual rokok elektronik.

Naib Presiden Gerakan, Koo Shiaw Lee berkata, tindakan berkenaan tidak membuktikan kerajaan menumpukan usaha untuk menyelesaikan masalah rakyat yang bergelut dengan kos sara hidup.

“Ini menunjukkan kerajaan sekarang tidak tahu menyelesaikan masalah, tetapi lebih mementingkan keuntungan daripada kesihatan rakyat.

“Tindakan tersebut tidak menyelesaikan masalah ketagihan malah menggalakkan lagi orang merokok,” katanya menerusi kenyataan.

Tegasnya, langkah berkenaan bercanggah dengan usaha kerajaan sebelum ini yang mahu mewujudkan Akta Larangan Merokok, sebagai galakan rakyat untuk berhenti merokok.

“Ia berbeza dengan kerajaan sebelum ini yang membuat jalan penyelesaian berkaitan rokok atau rokok elektronik dengan membuat Akta Larangan Merokok terhadap generasi muda serta jarak tiga meter untuk hisap rokok dari kedai makan,” katanya lagi.

Ini membuktikan kerajaan mengambil sikap sambil lewa dalam menangani isu ketagihan rokok termasuk vape (rokok elektronik) sebaliknya menggalakkan penggunaannya.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, cecair dan gel nikotin untuk membantu menghentikan tabiat merokok kini dikecualikan daripada Akta Racun 1952.

Sebelum itu, kerajaan kerajaan mengumumkan pelaksanaan cukai ke atas penjualan cecair vape untuk e-rokok pada kadar 40 sen setiap ml.

Pelaksanaan cukai itu diumumkan menerusi notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan.-MalaysiaGazette