LONDON – Pemain tengah, Christian Eriksen akan kembali menyertai sesi latihan skuad Manchester United hari ini selepas dua bulan berehat kerana kecederaan buku lali.
Pengurus United Erik Ten Hag berkata, pemain antarabangsa Denmark itu akan dinilai perkembangannya ketika latihan sebelum dia beraksi di atas padang dalam saingan liga.
“Bukan untuk esok tetapi dia kembali ke padang. Dia kembali ke latihan pasukan hari ini, jadi kita perlu lihat sekarang seberapa cepat dia boleh membuat kemajuan untuk kembali beraksi dalam saingan liga,” katanya kepada The Athletic.
Eriksen telah menerima terjahan keras dari penyerang Reading, Andy Carroll ketika pusingan keempat Piala FA pada 28 Januari lalu dan telah terlepas 15 perlawanan terakhir United.
Dua mingga lalu, dia mendedahkan telah kembali sesi latihan berasingan dan walaupun tidak akan dapat bermain menentang bekas kelab Brentford pada awal pagi ini.
United masih lagi dibelenggu kekecewaan selepas tewas 0-2 kepada Newcastle United Ahad lalu, sekali gus menyaksikan mereka berdepan cabaran untuk mengekalkan kedudukan dalam kelompok empat teratas liga.
Ten Hag berharap skuad The Red Devils boleh menjadikan Brentford sebagai mangsa kebangkitan bagi memastikan mereka terus mencerahkan peluang untuk ke saingan Liga Juara-Juara musim depan. – Agensi