Datuk Seri Ab Rauf Yusoh

MELAKA – Kejayaan Melaka membentuk barisan Exco yang membawa semangat Kerajaan Perpaduan menggambarkan satu penjanaan kuasa politik era baharu di negara ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kebersamaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)  menunjukkan kematangan politik telah bermula di Melaka.

“Maka sebab itu, saya mengambil tanggungjawab ini bersamaan apa yang dipandu oleh pucuk pimpinan terutama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memberikan saya amanah dan tanggungjawab ini.

“Tangungjawab untuk bersama-sama mencerminkan Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat dan di negeri Melaka dan insya-Allah, kita ada kebersamaan dan ini menunjukkan kematangan politik bermula di Melaka.

“Kita baharu masuk dalam era politik baharu terutamanya di Melaka dan akan bermula di Melaka satu penjanaan kuasa politik yang dipanggil  political cooperation bermula di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan sembilan ADUN Barisan Nasional (BN) dan seorang ADUN Pakatan Harapan (PH) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di sini hari ini.

Jumaat lalu, Ab Rauf yang juga Tanjung Bidara mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka baharu dengan memegang jawatan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET.

Mengulas lanjut Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, naratif politik baharu itu merentasi faktor etnik dan dapat memupuk perkongsian kuasa antara pelbagai kaum dan pelbagai parti politik.

Dari kiri, Kalsom, Fairul, Dr Akmal, Abdul Razak dan Rais mengangkat sumpah sebagai Exco Melaka hari ini.

Permuakatan politik dan perkongsian kuasa antara kaum itu juga katanya, bersifat inklusif bukan eksklusif untuk memupuk semangat solidariti antara kaum dalam usaha mentadbirkan negara.

“Semangat yang sama kini diterjemahkan di Melaka di mana kerajaan negeri adalah berlandaskan Kerajaan Perpaduan dengan komposisi barisan Exco mengambil kira semua parti seperti Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat.

“Sesungguhnya, dimensi politik dan demokrasi di Melaka ini sekali gus mengenepikan politik bersifat perkauman dan menyimpan perasaan prasangka sesama kita,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

10 Exco Kerajaan Perpaduan Melaka angkat sumpah hari ini

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast