MELAKA – Seramai 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Dewan Seri Negeri pagi ini.
Semua mereka terdiri daripada sembilan ADUN Barisan Nasional (BN) dan seorang daripada Pakatan Harapan (PH) telah mengangkat sumpah pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Mendahului istiadat mengangkat sumpah adalah Datuk Rais Mohd Yasin (BN-Paya Rumput) sebagai Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana.
Ia diikuti Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (BN-Telok Mas) di bawah portfolio Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan,
Dr Muhamad Akmal Saleh (BN-Merlimau) sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Seterusnya Fairul Nizam Roslan (BN- Asahan) sebagai Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital, Datuk Kalsom Nordin (BN-Pengkalan Batu) sebagai Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti.
Turut dilantik adalah Datuk Rahmad Mariman (BN- Ayer Molek) sebagai Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama.
Wakil tunggal PH iaitu ADUN Kesidang, Seah Shoo Chin pula diberi kepercayaan sebagai Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna sekaligus menterjemahkan semangat Kerajaan Perpaduan di Melaka seperti peringkat Persekutuan.
Turut dilantik adalah Ngwe Hee Sem (BN- Machap Jaya) sebagai Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN- Ayer Limau) menjawat Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan.
Pengerusi MIC Melaka, VP Shanmugam (BN- Gadek) pula mengekalkan jawatannya sebelum ini sebagai Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan.
Sebelum itu, ADUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka baharu dengan memegang jawatan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Hal Ehwal Tanah, Agensi Bukan Kerajaan, Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET. – MalaysiaGazette