Tan Sri Musa Hassan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini menetapkan 24 Mei depan bagi tarikh mendengar permohonan nusyuz oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan terhadap isterinya.

Isteri Musa, Elly Afizahwati Abdul pula sudah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 30 Mac lalu.

Peguam syarie yang mewakili Elly, Datuk Hazizah Kassim berkata, mahkamah memberikan tarikh itu untuk membolehkan pihaknya menyediakan dokumen diperlukan untuk diserahkan kepada plaintif iaitu Musa Hassan.

“Kita akan lawan balik kes ini, ikut sahaja perjalanan kes ini nanti. Pada tarikh yang telah ditetapkan ini kita akan serahkan semua dokumen selengkapnya,” katanya kepada pemberita diluar pekarangan Kompleks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini. 

Pasangan itu yang telah dikurniakan seorang anak lelaki telah berkahwin pada 2 Ogos 2013.

Menurut Elly, beliau membuat permohonan cerai kerana perbalahan berpanjangan antara mereka.

Musa baru-baru ini memberitahu media, masalah rumah tangga yang dihadapinya itu bukanlah baharu sebaliknya berlarutan hampir tiga tahun, malah mereka tidak lagi tinggal sebumbung sejak enam bulan lalu.

Malah Musa turut meminta umum supaya menghormati privasinya.

Musa tampil secara terbuka selepas tiga klip video berdurasi sembilan saat, 56 saat, dan 10 saat dimuat naik pengguna Twitter memaparkan pertelingkahan antara sepasang suami isteri yang turut disaksikan seorang kanak-kanak. -MalaysiaGazette