KUALA LUMPUR – Penyanyi popular era 80an, Ibnor Riza mendedahkan wajah terkininya yang dilihat sudah botak serta badan sedikit susut selepas mengesahkan dirinya menghidap kanser limfoma pada awal Mac lalu.
Menerusi foto di media miliknya, dia mengucap selamat menjalani ibadah puasa dan dalam masa yang sama memohon doa atas kesihatan dirinya.
“Selamat menjalani ibadah puasa. Semoga setiap amalan kita diterima Allah SWT. Doakan saya terus sihat,” tulisnya di ruangan kapsyen.
Sebelum ini, penyanyi berusia 62 tahun itu mengesahkan dirinya menghidap kanser limfoma dan menjalani rawatan kimoterapi bagi mengubati penyakit itu.
Pada 19 Februari lalu, Ibnor dikejarkan ke unit rawatan rapi (ICU) HPD, Negeri Sembilan selepas pengsan di kediamannya.
Ibnor dilaporkan mengalami kompilasi pelbagai penyakit seperti kencing manis, paras kolesterol tinggi, darah tinggi dan migrain yang teruk.
Berikutan itu, Ibnor tidak dapat meneruskan karier sebagai penyanyi hingga pendapatannya terjejas.
Dia mula berada dalam industri pada 1987, Ibnor popular dengan rangkaian lagu antaranya Meneka Dalam Kesamaran, Berdiri Seorang Perindu, Rahsia Ukiran Duka dan Sudah Terluka Merindu Pula. – MalaysiaGazette