Empat nelayan Indonesia ditahan ceroboh perairan negara pada kedudukan 27 nautika barat daya Pulau Kendi di Pulau Pinang semalam.

GEORGE TOWN – Padah ceroboh perairan negera, empat nelayan Indonesia ditahan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang pada kedudukan 27 batu nautika barat daya Pulau Kendi, di sini, semalam.

Pengarah APMM Negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, penahanan dilakukan pada jam 10.13 pagi ketika pihaknya melaksanakan rondaan Op Tanjung.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati bot berpangkalan di Pantai Labu, Deli Serdang Sumatera Utara itu dikendalikan empat kru termasuk tekong warga Indonesia berusia antara 17 hingga 33 tahun.

“Semakan mendapati kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan permit menangkap ikan di perairan Malaysia ketika pasukan kita melakukan pemeriksaan.

Bot serta peralatan menangkap ikan milik mereka turut dirampas.

“Susulan itu, kita menahan kru tersebut selain menyita semua peralatan menangkap ikan termasuk bot sebelum diserah kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut.

“Mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa permit daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Abd Razak, pihaknya akan sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal daripada sebarang pencerobohan bot nelayan asing yang cuba mencuri hasil laut di perairan Malaysia.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aduan salah laku jenayah maritim atau kecemasan di laut, boleh hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04 262 6146 atau MERS 999 bagi maklum balas segera. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast