Klinik Kesihatan Bandar Raub (KKBR) beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum dan hujung minggu.

KUANTAN – Berita baik buat orang Raub apabila mereka sudah boleh mendapat perkhidmatan rawatan di Klinik Kesihatan Bandar Raub (KKBR) yang  bernilai RM25.2 juta pada waktu pejabat setiap Isnin hingga Jumaat.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, klinik tersebut mula beroperasi pada Isnin lalu selepas pembinaanya siap pada 11 Januari lalu.

Menurutnya, kewujudan klinik itu dapat memberi manfaat kepada kira-kira 49,000 penduduk di bandar Raub.

“KKBR terletak di tengah-tengah bandar Raub, merupakan Klinik Kesihatan Jenis 3 yang dibina bagi menggantikan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Raub (KKIA) yang telah beroperasi sejak tahun 1979 lagi.

“Klinik Kesihatan Jenis 3 ini dapat menampung kapasiti kedatangan pesakit sekitar 300 hingga 500 pesakit sehari merupakan salah satu usaha berterusan kerajaan bagi menjamin kemudahan masyarakat setempat khususnya penduduk Raub untuk mendapatkan akses kepada kesihatan awam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

KKBR beroperasi pada hari Isnin hingga Jumaat, bermula jam 8 pagi hingga 5 petang kecuali cuti umum dan hujung minggu dengan menawarkan perkhidmatan seperti pesakit luar, kesihatan ibu dan anak.

Selain itu, ia menawarkan perkhidmatan farmasi, rawatan pergigian dan perkhidmatan sokongan lain seperti makmal perubatan, x-ray, rehabilitasi, kaunseling, domisiliari, rundingan dietetik dan pemakanan.

Difahamkan perkhidmatan x-ray di KKBR merupakan yang pertama disediakan di klinik kesihatan kerajaan di daerah Raub.

Menurut Dr. Nor Azimi dengan adanya kemudahan ini, ia  memudahkan pesakit mendapatkan perkhidmatan tanpa bertumpu ke Hospital Raub. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast