Dr. Khairul Anuar

PUTRAJAYA – Pelajar yang ditahan polis dan dituduh di mahkamah boleh dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib universiti walaupun Seksyen 16D Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 telah dipadamkan.

Mengikut akta itu, Naib Censelor sesebuah universiti awam boleh menuduh seseorang pelajarnya yang terlibat dalam kesalahan perhimpunan aman atau kes jenayah lain ke Jawatankuasa Tatatertib.

Penasihat Undang-Undang Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Khairul Anuar Che Azmi berkata, pelajar tidak boleh mendakwa pihak universiti tiada hak untuk berbuat demikian kerana mereka ditahan polis dan didakwa di mahkamah.

“Dalam keadaan-keadaan Naib Canselor sebenarnya boleh menuduh seseorang itu. Perkataan boleh ini maksudnya tidaklah atau hendaklah, bukan perkataan wajib.

“Naib Canselor boleh menuduh pelajar itu ke Jawatankuasa Tatetertib atau Naib Canselor itu juga boleh untuk tidak menuduh pelajar tersebut ke jawatakuasa itu.

“Kalau mahasiswa persoalkan kenapa mereka perlu dibawa lagi ke Jawatankuasa Tatatertib universiti, sedangkan mereka sudah ditangkap, ditahan polis, disoal siasat, kertas siasatan di bawa ke Pendakwa Raya dan dituduh di mahkamah, itu hanyalah persepsi mahasiswa,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan dibangkitkan mahasiswa dalam Sesi Town Hall Akta Universiti Dan Kolej Universiti 1971 (Auku) bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, di sini, hari ini.

Dalam persoalan itu, seorang mahasiswa membangkitkan isu berkenaan Seksyen 16 AUKU, yang mana terdapat seseorang pelajar dituduh di mahkamah, tetapi pada masa sama universiti membawa pelajar tersebut ke Jawatankuasa Tatatertib universiti.

Mahasiswa itu mempersoalkan kenapa perlu dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib universiti, sedangkan pelajar terbabit sedang berdepan dengan tuduhan di mahkamah.

Menurut Dr. Khairul Anuar, setiap mahasiswa perlu faham daripada segi beberapa konteks yang berlaku terhadap mereka.

“Persepsi dari sudut undang-undang adalah berbeza dan berlainan. Ini bukan soal kesalahan yang mencakupi akta perhimpunan aman sahaja. Ia juga melibatkan kesalahan jenayah seperti mencabul, membunuh dan sebagainya.

“Jika pelajar itu terlibat dalam kes jenayah, maka pihak universiti merasakan pelajar ini perlu ditahan daripada tidak hadir ke kuliah.

“Dalam konteks ini, jika Seksyen 16D AUKU dipadamkan terus, maka langsung tidak boleh dibawa pelajar tersebut ke jawatankuasa berkenaan, sedangkan dia melakukan kesalahan bunuh atau liwat dan sebagainya,” katanya.

Justeru, katanya, penggunaan Seksyen 16D AUKU itu perlu dilaksanakan secara berhemah oleh kedua-dua pihak iaitu universiti dan pelajar yang melakukan kesalahan berkenaan. – MalaysiaGazette