GEORGE TOWN – Sempena perayaan Aidilfitri ini, penjawat awam di Pulau Pinang akan menerima Bantuan Kewangan Khas (BKK) 0.75 bulan gaji atau minimum RM1,500.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, BKK diluluskan menerusi Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) yang berlangsung semalam.

Jelas beliau, pembayaran BKK yang akan dibuat pada 17 April nanti turut  dipanjangkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Badan Berkanun Negeri.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersetuju meluluskan bayaran BKK sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sebanyak 0.75 gaji bulanan atau minimum RM1,500 kepada anggota perkhidmatan awam negeri.

“Sebagai tambahan, BKK berjumlah RM300 masing-masing juga disalurkan kepada penyelia dan guru Kelas Al-Quran serta Fardu Ain (KAFA), guru sekolah rendah agama rakyat (SRAR), guru sekolah menengah agama rakyat (SMAR), kakitangan SRAR, SMAR serta sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), guru tahfiz, pondok dan tadika Islam (TADIS) serta guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina negeri ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tambah Kon Yeow, pemberian BKK itu membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM10.95 juta kepada kerajaan negeri.

“Selain daripada persediaan menyambut Syawal, BKK ini juga adalah tanda penghargaan khas kerajaan negeri kepada semua penjawat awam Pulau Pinang atas komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan pentadbiran negeri berada pada landasan yang tepat untuk merealisasikan Visi Penang 2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” jelas beliau. – MalaysiaGazette