KUALA LUMPUR – Pengarah kontroversi, Syamsul Yusof reda dengan ketentuan membabitkan kemelut rumah tangga bersama isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana.
Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Md Yusof 39, berkata, dia dan Sarah tetap profesional dalam hal berkaitan anak-anak mereka walaupun rumah tangga mereka berhadapan masalah yang belum berpenghujung.
“Syukur Alhamdulillah, saya ada berjumpa anak-anak. Sarah pun beri kerjasama dengan baik walaupun saya tahu dia telah failkan tuntutan hadanah iaitu hak penjagaan anak.
“Walaupun selama ini Sarah dan saya ada masalah, kami tetap profesional tentang anak,” katanya pada pemberita.
Syamsul menegaskan, dia tidak akan merebut cahaya mata mereka daripada isterinya itu dan bersyukur kerana tidak berdepan halangan untuk bertemu kedua-dua anaknya.
Pengarah filem ‘Mat Kilau’ itu menyifatkan Puteri Sarah Liyana atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, memberi kerjasama yang baik.
Terdahulu, Syamsul hadir di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur bagi sebutan kes nusyuz terhadap Puteri Sarah.
Hakim Syarie, Maizatul Aliza Che Din menetapkan tarikh baharu pada 8 Mei depan sebagai sebutan semula bagi membolehkan kedua-dua pihak memfailkan pembelaan.
Dalam pada itu, Syamsul berkata dia memilih untuk menjaga lisan berhubung isu rumah tangganya dan tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung Puteri Sarah.
Dia juga reda dengan apa sahaja keputusan dariapda Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang akan didengar pada Isnin depan dan berharap Puteri Sarah turut berperasaan yang sama.
“Insyallah saya cuba redha dengan apa sahaja keputusan, begitu juga dengan pihak isteri saya, Puteri Sarah.
“Saya pun tidak mahu keluarkan apa-apa kenyataan yang boleh menyakiti Sarah lagi, kadang kadang kalau saya banyak cakap mungkin keluar kenyataan yang melukakan hati dia,” ujarnya.
Tambah Syamsul, melihat ujian yang melanda dirinya itu sebagai satu reflek untuk memperbaiki diri dan bersempena bulan Ramadan dia berharap semua isu dapat diselesaikan dengan baik.
“Apa yang jadi dalam kehidupan ini saya reflek balik untuk muhasabah diri. Kita tak tahu mungkin kita rasa apa yang terbaik untuk kita, tetapi Allah Maha Mengetahui.. hanya mampu bersangka baik,” katanya lagi.
Sementara itu, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah berkata, anak guamnya sudah sedia maklum berhubung tuntutan nusyuz terhadapnya.
“Sekarang ini zaman sosial media. Dia (Sarah) sudah tahu lebih awal dan tidak terkejut tentang tuntutan nusyuz.
“Pihak kami akan memasukkan pembelaan terhadap tuntutan itu.” jelasnya.
Pada 21 Mac lalu, Syamsul telah memfailkan permohonan nusyuz terhadapPuteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini.
Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4. – MalaysiaGazette