KUALA LUMPUR – Skuad terjun negara menurunkan pasukan atlet pelapis dalam memburu kilauan pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-32 di Kemboja yang akan membuka tirai awal bulan depan.
Pada edisi di Hanoi, Vietnam tahun lalu, skuad terjun menyapu bersih kesemua lapan pingat emas, tiga perak dan satu gangsa.
Pada temasya kali ini, Malaysia mempertaruhkan enam penerjun pelapis namun harapan meraih pingat emas diletakkan pada penerjun berpengalaman, Muhammad Syafiq Puteh dan Gabriel Gilbert Daim.
Pengurus pasukan terjun kebangsaan, Ong Suh Chyn berkata, keputusan menghantar barisan atlet muda bagi menyahut cabaran Majlis Olimpik Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam mempersiapkan atlet masa depan negara.
“Ini adalah pendedahan pertama skuad terjun muda merasai pertandingan di peringkat antarabangsa dan penerjun pelapis dihantar ke Sukan SEA Kemboja kali ini yang mana hanya dua merupakan penerjun elit mankala enam lagi penerjun pelapis.
“Kami meletakkan sasaran awal membawa pulang sekurang-kurangnya tiga pingat emas, dua perak dan dua gangsa menerusi skuad yang akan menggalas misi negara kali ini,” katanya, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, atlet terjun negara Syafiq Puteh yang meraih emas dalam acara 3 meter papan anjal individu lelaki di Hanoi, Vietnam tahun lalu yakin mampu mempertahankan pingat emas yang dirangkulnya itu. – MalaysiaGazette