BATU PAHAT – Sebagai tanda prihatin, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyedia dan mengedarkan juadah berbuka puasa percuma kepada pelajar dan kakitangannya sepanjang Ramadan ini.
Makanan berupa bubur lambuk dan nasi bungkus itu diedarkan secara ‘pandu lalu’ setiap hari Isnin hingga Khamis bertempat di perkarangan Masjid Sultan Ibrahim, kampus induk.
Menurut Naib Canselor UTHM, Profesor Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim, UTHM melalui Pusat Islam telah memperuntukkan kira-kira RM50,000 bagi menjayakan projek tersebut.
Inisiatif yang dibiayai oleh tabung Masjid Sultan Ibrahim itu merupakan hasil sumbangan kakitangan universiti dan masyarakat setempat.
Manakala aktiviti memasak dan pembungkusan makanan pula disediakan secara bergotong royong oleh sukarelawan UTHM secara bergilir-gilir.
Tambah beliau, pada semester ini jumlah pelajar yang berada di kampus tidak seramai kebiasaannya kerana UTHM melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara hibrid.
Justeru itu pengurusan masjid hanya engedarkan kira-kira 250 hingga 300 pek nasi bungkus sehari bergantung kepada jumlah purata pengunjung yang hadir.
Selain bubur lambuk, nasi beriani atau nasi berlauk menjadi menu istimewa yang dibungkus segar dari dapur masjid,” katanya.
Inisiatif seumpama itu dilaksanakan bagi mengeratkan ukhwah dan memupuk semangat kemuafakatan dalam kalangan warga kerja selain menyokong usaha progresif ke arah masyarakat Madani.
“Pelaksanaannya juga bagi memberi manfaat kepada warga universiti terutama kepada pelajar yang kurang berkemampuan menikmati juadah berbuka.
“Program sedemikian juga sebagai usaha membudayakan amalan bersedekah dan beramal jariah sekali gus melahirkan masyarakat yang penyayang serta prihatin antara satu sama lain,” ujar beliau. – MalaysiaGAzette