KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara menafikan dengan tegas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendalangi kegiatan penyeludupan mercun dalam negara.
Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani membuat kenyataan itu rentetan laporan akhbar harian tabloid yang menyiarkan berita “Polis Jadi Dalang Seludup Mercun” semalam.
“Kes yang dilaporkan itu telah diambil tindakan yang mana suspek seorang polis telah ditahan oleh PDRM bersama seorang lelaki kerana terlibat dalam akiviti pengedaran mercun.
“Kedua-dua suspek ditahan dan direman selama empat hari bermula 5 hingga 8 April ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan dari Bukit Aman tengah hari tadi.
Tambah beliau, selain siasatan jenayah, PDRM juga akan mengambil tindakan dalaman ke atas anggota polis berkenaan yang menyalahgunakan kenderaan di luar waktu bertugas bagi menjalankan aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Polis tidak pernah berkompromi dengan mana-mana warga polis yang terlibat dengan kegiatan jenayah dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya menerima bukti sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang,” tegasnya.-MalaysiaGazette