KAJANG – Gara-gara bermasalah dengan bekas teman wanita, seorang lelaki berang dan didakwa membaling bom petrol menyebabkan kebakaran di bahagian hadapan rumahwanita berkenaan di Taming Jaya di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian kebakaran itu pada jam lebih kurang pukul 3.44 pagi tadi.
“Semasa kejadian, mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun dipercayai bapa bekas teman wanita suspek sedang tidur dalam rumah sebelum terdengar jeritan orang memanggil namanya dalam keadaan cemas.
“Sejurus keluar mangsa mendapati api di bahagian hadapan rumahnya sedang terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Namun, jelas Mohd Zaid, kebakaran itu berjaya dikawal dan dipadam oleh anggota bomba yang bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kebakaran itu.
Siasatan awal polis mendapati suspek mencurah cecair disyaki minyak tanah ke bahagian dalam pagar rumah mangsa kemudian membaling api menyebabkan berlaku letupan kecil sebelum berlaku kebakaran
Siasatan juga mendapati insiden itu berpunca daripada suspek yang juga bekas teman lelaki anak mangsa kerap datang mengganggu di hadapan rumahnya.
“Suspek dikenalpasti sebagai seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 45 tahun dan kini menghilangkan diri selepas dikatakan melakukan jenayah tersebut.
“Polis telah mempergiatkan usaha dan menggerakkan anggota mengesan suspek yang masih bebas di luar,” ujarnya.
Tegas Mohd Zaid, siasatan sedang dilakukan polis di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat hendak membinasakan rumah.
Pagi tadi, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat berkata, bahagian hadapan sebuah rumah di Jalan Taming Sari 1, Taman Taming Jaya, Cheras terbakar selepas dipercayai dibaling dengan bom petrol (koktail petrol) hari ini.
Pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 3.45 pagi tadi sebelum seramai tujuh anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dikejarkan ke lokasi kejadian itu.
Katanya, kebakaran itu dipercayai berlaku akibat bom petrol yang dibaling oleh seseorang disyaki mempunyai unsur khianat.
“Tiada struktur yang terjejas dan hanya membabitkan rak kasut sahaja yang terbakar,” tegasnya. – MalaysiaGazette