Tunku Ismail. Foto Facebook Johor Southern Tigers.

KUALA LUMPUR – Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim  (TMJ) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pemilik kelab bola sepak lain agar memeriksa kewangan pasukan itu.

Beliau berkata demikian setelah terdapat dakwaan oleh salah seorang pengguna laman media sosial Twitter yang mendakwa gaji pemain JDT dibayar kontraktor.

TMJ turut menjemput mana-mana pihak agar melakukan audit ke atas kewangan pasukannya.

“Alhamdulillah, saya memang dah lama mengalu-alukan soalan seperti ini. Yang pertama saya tak rasa apa-apa kerana selama 11 tahun dalam industri bola sepak tiada perkara yang baik pun dikatakan tentang JDT. Kami di JDT dah biasa dengan perkara sebegini.

“Berkenaan dengan tuduhan yang mengatakan “kontraktor yang bayar gaji pemain-pemain”, saya menyeru pihak SPRM atau mana-mana pemilik kelab bola sepak yang berminat, boleh datang sendiri untuk periksa dan audit kewangan JDT termasuk sumber-sumber pendapatan dan perbelanjaan.

“Duit JDT datang daripada sponsor, serta duit saya dan DYMM Sultan Johor sendiri. Ini bukan duit dari Menteri Besar atau duit kerajaan. Bagaimana pula dengan kelab anda?” tanya TMJ.

Tuduhan ini dilontarkan oleh individu tersebut selepas TMJ memberi komen mengenai kelebihan pasukan Selangor yang mengharungi empat perlawanan pada Ramadan ini di halaman sendiri berturut-turut.

“Nampak macam dah dirancang dengan orang atasan. Maklumlah FAM, MFL, Jawatankuasa Pengadil semua orang mana? Semua perlawanan dari mula pun lawan pasukan baru dinaikkan dan pasukan tercorot liga.

“Macam ada yang nak membantu untuk dapat mata maksimum dan momentum. Bulan puasa tiada perjalanan keluar, semua main tempat sendiri dan di Lembah Klang.

“Macam sudah dirancang dari awal untuk membantu misi tertentu selepas tujuh tahun gagal semenjak Izhar Moslim belakang tadbir,” tulis TMJ di laman media sosial Instagram miliknya. – MalaysiaGazette