ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang wanita kerana disyaki mendera bayinya yang  berusia 10 bulan di Petaling Utama, dekat sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, pemeriksaan ke atas bayi lelaki itu mendapati terdapat lebam pada beberapa bahagian tubuh badan.

“Suspek warga tempatan dan merupakan suri rumah berusia 26 tahun itu ditahan kerana disyaki melakukan penderaan terhadap mangsa yang juga anak kandungnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Mohamad Fakhruddin, bayi itu kini ditempatkan dan dirawat di Hospital Shah Alam.

Tambah beliau, mangsa dilaporkan stabil dan kesihatannya dipantau sepanjang masa.

Katanyam suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam.

“Suspek dibenarkan direman selama empat hari sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan lanjut polis di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” ujarnya. – MalaysiaGazette