Bangkai seekor buaya tembaga betina seberat 230 kilogram (kg) ditemukan tersangkut pada pukat nelayan di Umbai, Jasin, Melaka pagi tadi.

JASIN – Bangkai seekor buaya tembaga betina seberat 230 kilogram (kg) ditemukan tersangkut pada pukat nelayan di Umbai di sini pagi tadi.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka, Petra Sulai berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu oleh orang awam kira-kira pukul 10 pagi.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati, bangkai reptilia betina itu bersaiz 11 kaki panjang dan berat antara 200 sehingga 230 kg.

“Ini adalah kejadian pertama direkodkan di Melaka tahun ini dan kita percaya buaya itu datang dari Sungai Kesang serta menggunakan persisir pantai ini bagi mencari sumber makanan serta pasangan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Pengarah Perhilitan Melaka, Petra Sulai

Tambah Petra, bangkai buaya itu kemudian dibawa ke Zoo Melaka bagi tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Orang awam dinasihatkan tidak perlu bimbang mengenai kejadian itu, sebaliknya segera menghubungi pihaknya di talian 06-2345610 / 013-4122589 sekiranya mempunyai sebarang maklumat mengenai reptilia itu.

Terdahulu, tular beberapa keping gambar dan video mengenai kejadian itu sehingga mendapat pelbagai reaksi masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast