ADUN Pandan Indah yang juga Exco Pertanian Selangor, Izham Hashim melakukan pelancaran Jualan Ehsan Aidilfitri Selangor ketika di Flat PKNS Taman Dato Harun, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 09 APRIL 2023.

PETALING JAYA – Kerja pembaikan infrastruktur awam termasuklah premis perniagaan dan kediaman yang terjejas akibat ribut di beberapa lokasi semalam akan dilaksanakan mulai esok.

Perkara berkenaan disahkan oleh Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Izham Hashim.

Ujarnya, kerja-kerja pembaikan akan dilakukan oleh Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kita sudah bincang, kerajaan negeri akan ambil tindakan segera. Isnin ini kerja pembaikan bumbung akan dibuat tidak boleh tunggu.

“Sekarang pihak PBT telah turun untuk tengok apa yang perlu dibaiki Isnin ini jadi kerja boleh terus mula Isnin,” katanya ketika ditemui di Flat PKNS di Taman Medan bagi merasmikan Jualan Mega Ehsan Aidilfitri di Taman Medan.

Dilaporkan, lebih 20 lokasi di sekitar Kampung Pulau Meranti, Taman Putra Perdana dan Apartment Angsana Bukit Puchong 2, di sini terjejas akibat ribut yang berlaku pada Sabtu.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 4.30 petang itu menyebabkan beberapa infrastruktur awam, masjid, surau, premis perniagaan dan rumah penduduk turut mengalami kerosakan.

Selain Puchong, penduduk di Sepang turut berhadapan dengan kerosakan akibat ribut buruk semalam.

Sementara itu, Izham berkata, Jualan Mega Ehsan Aidilfitri akan bermula pada 15 hingga 20 April ini di 23 lokasi seluruh Selangor untuk membantu rakyat negeri itu membuat persiapan menyambut Syawal.

Katanya, semua harga barangan asas khususnya ayam, telur, daging, beras dan minyak akan dijual dengan harga yang murah.

“Tahun ini kita (kerajaan negeri) belanjakan lebih RM20 juta untuk jualan ini. Setiap barangan yang dijual kerajaan negeri tanggung subsidi sebanyak 13 peratus,” ujarnya.

Jualan berkenaan adalah hasil kerjasama Agro Selangor, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Kohijrah.-MalaysiaGazette