MCA
Wee Ka Siong

JOHOR BAHRU – Rundingan kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang disifatkan sebagai ujian bagi melihat bagaimana semangat kerjasama Kerajaan Perpaduan dapat diterjemahkan, kata Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Bagaimanapun, beliau berkata setakat ini partinya masih belum menerima apa-apa isyarat atau makluman mengenai rundingan sama ada sesama parti komponen dalam Barisan Nasional (BN), inter (antara) atau intra (dalam) parti.

“Saya rasa kita (rakyat) menunggu dan melihat senario baharu dalam politik, apa sekalipun, semangat Kerajaan Perpaduan harus diterjemahkan dalam apa jua bentuk.

“Bukan semua dapat semua (kerusi), ada yang mungkin tak dapat semua (kerusi), mungkin dapat sebahagian (kerusi), jadi bagaimana ia dapat diterjemahkan dalam konsep kebersamaan, jadi ini ujian untuk melihat setakat mana konsep Kerajaan Perpaduan dapat diterjemahkan,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa bersama media di sebuah hotel, di sini, malam ini.

Wee berkata rundingan mengenai tuntutan, kehendak dan jangkaan kerusi adalah perlu, memandangkan Kerajaan Perpaduan adalah satu gugusan parti yang lebih besar yang memerlukan perbincangan yang rapi.

“Jadi saya rasa perbincangan antara BN dengan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya dimuktamadkan antara gugusan parti yang besar,” kata Wee.

Katanya sebagai salah satu parti yang menyokong Kerajaan Perpaduan pihaknya sedia berbincang dan berpendapat waktu sesuai untuk rundingan adalah selepas Aidilfitri.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam mengenai PH dan BN bersetuju semua kerusi penyandang kekal kepada parti yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), untuk dipertahankan pada PRN di enam negeri kelak.

Saifuddin dipetik sebagai berkata keputusan itu dicapai menerusi perbincangan pusingan pertama membabitkan pembahagian kerusi untuk PH dan BN pada PRN, baru-baru ini.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. “Rundingan kerusi (PRN) di enam negeri disifatkan ujian semangat Kerajaan Perpaduan”.. kata Ka Siong.

    “PH dan BN kekal kerusi parti yang menang pada PRU14”.. kata Saifuddin Nasution.
    lelain kerusi yang PH kalah pada PRU14 boleh dikekalkan diharap UMNO tidak mengada-ngada menempah maut ditalkinkan rakyat.
    PRU15 telah membuktikan labon bongkak dan sembang Kari Welanon adalah mengalamun kelaut.
    Ada sesiapa yang tidak jelas?
    Ada sesiapa yang tidak faham?

Comments are closed.