PEKAN – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyantuni dan mengurniakan sumbangan kepada 116 orang penduduk Tanah Kesultanan Daerah Pekan di sini.
Baginda berkenan memandu sendiri kenderaan rasmi manakala Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Sultan Iskandar menyusul berangkat tiba tidak lama kemudian.
Ketika ditemui, salah seorang penerima bantuan, Ismail Abdul Majid, 64, teruja dengan keprihatinan baginda yang juga Sultan Pahang mencemar duli menyampaikan sendiri bantuan serta beramah mesra dengan rakyat.
“Alhamdulillah. Syukur sempena bulan Ramadan Al-Mubarak ini dapatlah menambah sedikit perbelanjaan untuk menyambut raya nanti.
“Dapat bertemu dengan Tuanku, Alhamdulillah. Saya bersyukur dengan rezeki yang saya dapat hari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Sh Kamal Sh Othman, 73, dari Kampung Jalan Padang Buluh pula bercadang untuk memanfaatkan duit sumbangan diterima itu dengan mengadakan jamuan makan bersama keluarga.
“Terima kasih banyak kepada Tuanku di atas kurnia yang diberikan. Saya ingat nak buat jamuan sikit pada hari raya (Aidilfitri),” katanya.
Dalam majlis yang berlangsung secara ringkas di Istana Mangga Tunggal itu juga, baginda berdua mengambil kesempatan mengimbau kembali kenangan sewaktu mendiami istana terbabit.
Difahamkan, Istana Mangga Tunggal, di sini bakal dijadikan sebuah Galeri Diraja Pekan dan akan dibuka untuk dikunjungi orang awam tidak lama lagi. – MalaysiaGazette