KUALA LUMPUR – Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas untuk menamatkan konflik selama 15 bulan di Gaza yang dicapai menimbilkan persoalan.
Ia kerana perjanjian itu termasuk pembebasan tebusan yang ditahan oleh Hamas dan tahanan Palestin oleh Israel dan pengunduran tentera Israel dari Gaza.
Walau bagaimanapun, di sebalik gencatan senjata, laporan menunjukkan pengeboman Israel di Gaza berterusan, menyebabkan kecederaan awam yang ketara, kata Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid.
“Kami mengutuk serangan berterusan Israel…sehingga hari ini di Gaza, sumber perubatan melaporkan, termasuk sekurang-kurangnya 30 orang di Bandar Gaza terbunuh dalam beberapa jam sejak Hamas dan Israel mengumumkan mereka telah mencapai perjanjian gencatan senjata.
“Gencatan senjata tidak bermula sehingga Ahad, 19 Januari dan penduduk Gaza bimbang (situasi) lebih buruk akan berlaku sebelum pengeboman Israel berhenti.
“Kami menjangkakan lonjakkan serangan oleh dron dan artileri berat dan itulah yang menyebabkan orang ramai menamatkan perayaan selepas dua jam,” katanya yang memetik laporan Hani Mahmoud dari Al-Jazeera dalam satu kenyataan.
Menurut Mohd Azmi lagi, apa yang berlaku adalah satu situasi berbahaya menjadikan gencatan senjata sebagai perjanjian yang rapuh.
Katanya, selama lebih daripada 460 hari tindakan ketenteraan Israel telah mengakibatkan lebih 46,700 kematian rakyat Palestin di seluruh wilayah Palestin yang diduduki dan lebih daripada 2,000 kematian di Lubnan.
Gencatan senjata itu kata beliau, mesti dikuatkuasakan tanpa sebarang gangguan dan penamatan serangan sembarangan yang membunuh orang awam dan memusnahkan infrastruktur awam.
Tegasnya, berdasarkan perkembangan itu, Mapim menuntut Israel untuk menghentikan pengeboman berterusan ke atas Gaza.
“Kami menekankan kepentingan mematuhi perjanjian gencatan senjata untuk mengelakkan kehilangan nyawa dan memudahkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk yang terjejas.
“Kami menyanjung tinggi ketabahan penduduk Gaza dalam menghadapi cabaran yang amat besar adalah sesuatu yang luar biasa. Walaupun bertahun-tahun mengalami kesukaran, kesusahan, dan pengasingan, semangat dan kekuatan mereka bersinar sebagai bukti ketabahan dan harapan kemanusiaan.
“Komitmen mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap maruah, komuniti dan kelangsungan hidup terhadap cabaran yang besar patut dihormati dan dikagumi sepenuhnya,” katanya.
Tambah beliau, masyarakat antarabangsa perlu terus memantau keadaan dengan teliti termasuk memperjuangkan perlindungan orang awam dan menegakkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa di rantau ini. – MalaysiaGazette
















