KUALA LUMPUR – Perkahwinan antara pelakon, Puteri Sarah Liyana dan suaminya, Syamsul Yusof yang juga pengarah filem akhirnya akan menemui titik noktah pada 18 April depan.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas, selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dengan mencapai persetujuan untuk membubarkan perkahwinan dengan cara baik serta aman.

Menerusi pertemuan antara kedua-dua pihak malam tadi, mereka mencapai kata sepakat berkenaan terma-terma penyelesaian.

Antara terma-terma penyelesaian itu termasuk hadanah, harta sepencarian, mutaah nafkah anak, dan nusyuz.

Bagaimanapun, ia akan dimaklumkan pada 18 April untuk direkodkan, pada hari sama yang dipersetujui Syamsul untuk lafaz cerai terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana.

Pelakon, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin berrcakap kepada media selepas hadir ke mahkamah bagi mengetahui status rundingan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dengan suaminya iaitu pengarah filem, Syamsul Yusof di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 10 APRIL 2023.

“Syukur alhamdulillah sebab kami sudah berjumpa bincang semua terma dan syarat. Pasal apa saya nak, dia nak, nafkah anak-anak, semua memang diselesaikanlah semalam.

“Hari ini pun semua dipermudahkan dan kami boleh ‘move on’ dengan kehidupan masing-masing dengan tenang. Akhirnya semua muktamad, tak payah pening-pening sudah,” kata Puteri Sarah.

Dalam prosiding hari ini, Syamsul  atau nama sebenarnya, Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, diwakili peguam syarie Azmi Mohd. Rais manakala Datuk Akberdin Abdul Kader peguam syarie mewakili Puteri Sarah Liyana.

Untuk rekod Puteri Sarah Liyana dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Pada 24 Mac lalu, selepas proses Jawatankuasa Perunding (JKP) berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini Puteri Sarah Liyana dilaporkan berkata proses itu gagal menemui jalan penyelesaian.

Menurutnya, tiada perkara perlu dirunding atau dibincangkan memandangkan hatinya telah tertutup untuk berdamai selepas nekad mahu bercerai.

Sebelum itu, pada 7 Mac lalu, Hakim Syarie memerintahkan pasangan tersebut supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan penceraian mereka selepas Syamsul enggan menceraikan isteri pertamanya itu.

Pada awalnya, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan cerai di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Antara alasan dikemukakan beliau untuk bercerai ialah sudah tiada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

Bagaimanapun, Syamsul pula memaklumkan enggan bercerai kerana yakin rumah tangga mereka boleh diselamatkan, selain masih menyimpan perasaan sayang terhadap Puteri Sarah. -MalaysiaGazette