Jurucakap Hartal Doktor Kontrak (HDK), Dr Muhammad Yassin (dua kiri) bersama wakil Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) menyerahkan memorandum tuntutan kesaksamaan kebajikan pegawai perubatan kontrak kepada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa ketika di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 11 APRIL 2023.

PUTRAJAYA – Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan dan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan pada kadar segera.

Jurucakap HDK, Dr Muhammad Yassin berkata, penubuhan kedua-dua suruhanjaya berkenaan penting bukan  kerana ia sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) malah ia platform terbaik untuk memperkasa kebajikan dan jaminan kerjaya untuk staf kesihatan kontrak di Malaysia.

“Seperti yang ada dalam manifesto PH, suruhanjaya ini penting kerana boleh kenal pasti isu berkaitan doktor kontrak dan pegawai perubatan kontrak,” katanya.

Terdahulu beliau hadir di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menyerahkan memorandum kepada Menteri, Dr Zaliha Mustafa.

Selain itu, katanya, memorandum yang diserahkan hari ini antara lain memohon supaya wakil gerakan tersebut dibenarkan mengganggotai Jawatankuasa Peringkat Tertinggi yang ditubuhkan untuk membincangkan krisis dan isu-isu melibatkan kepentingan doktor kontrak.

Jelas Dr Muhammad, ia bagi memudahkan perbincangan dua hala sekaligus mendapatkan solusi terbaik dalam memastikan kebajikan dan kepentingan doktor dan pegawai perubatan dipenuhi.

“Kalau kami ada dalam jawatankuasa itu boleh jadi orang tengah di antara doktor kontrak dengan jawatankuasa itu dan capai solusi yang semua orang boleh puas hati,” tambah beliau.

Tambahnya lagi, HDK turut menggesa supaya  KKM  mengambil langkah proaktif dalam melindungi kebajikan keseluruhan staf kesihatan kontrak di Malaysia.

Menurut Dr Muhammad, ia merangkumi jaminan pekerjaan, perkembangan kerjaya dan juga kelebihan lain yang dinikmati staf keshatan lain berstatus tetap.

Jelas beliau, sekiranya isu ini ditangani dengan baik, kerajaan akan mampu menarik lebih ramai tenaga kerja profesional yang berkaitan dengan sektor kesihatan dalam negara.-MalaysiaGazette