PDRM
Gambar hiasan

PEKAN – Bulan Ramadan dicemari dengan insiden pertengkaran antara bekas pemimpin dan ahli sebuah parti di sini baru-baru ini.

Susulan kejadian itu, polis telah menerima satu laporan daripada mangsa yang mendakwa ditumbuk di bahagian mulut dan pipi oleh dua suspek.

Pada Selasa lalu, bekas pemimpin kanan sebuah parti di bahagian itu sendiri dipercayai menumbuk seorang individu yang juga ahli parti yang sama di sebuah restoran mamak.

Menurut sumber, individu tersebut telah ditumbuk bersama orang kanan ahli politik  berikutan isu berkaitan politik.

Difahamkan mangsa yang juga seorang guru pada mulanya menghampiri meja makan yang diduduki oleh suspek dan menghulurkan tangan untuk bersalam.

Bagaimanapun suspek tiba-tiba bangun dan menumbuk di bahagian mulut mangsa disusuli pula pukulan di bahagian pipi oleh suspek kedua.

Suspek kedua kemudian menarik dan memaksa mangsa keluar dari restoran mamak ke kawasan bangunan parti berdekatan.

Kemudian suspek pertama telah memarahi, mengeluarkan kata-kata kesat dan mengugut mangsa sebelum beredar.

Akibat daripada tumbukan itu, mangsa mengalami luka kecil di bibir dan pipinya.

Mangsa yang berusia 42 tahun itu pada mulanya enggan membuat laporan polis namun mengubah fikiran selepas bimbang keselamatan diri dan keluarganya dan berbuat demikian semalam.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima laporan itu dan siasatan akan dijalankan. – MalaysiaGazette