IPOH –Â Selepas lima hari pencarian, mayat Koperal Mohammad Nasri Mohd Nasib yang dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum di Gerik, akhirnya ditemui hari ini.
Difahamkan, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gerik untuk proses bedah siasat dan akan dikebumikan di kampung halamannya di Pulau Pinang.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan penemuan mayat mangsa.
”Mangsa ditemui pada jam 10.15 pagi oleh angkatan tentera menerusi operasi dan menyelamat (SAR),” katanya.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, urusan membawa pulang jenazah sedang diuruskan oleh pihak tentera.
“Takziah diucapkan kepada Ketua Wanita Cawangan Pengkalan Sena, Fadzilah Bakar dan keluarga di atas pemergian anakanda tercinta,” tulisnya di Facebook hari ini.
Media sebelum ini melaporkan mangsa berusia 33 tahun dilaporkan hilang ketika menjalankan operasi di kawasan pedalaman Hutan Simpan Belum pada Jumaat lalu.
Mangsa merupakan anggota dari Batalion 25 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Seri Bentong, Pahang.
Hasil siasatan polis mendapati mangsa bersama lima anggota lain sedang menjalankan operasi di kawasan penugasan sekitar jam 5 petang. – MalaysiaGazette