JASIN – Program menyelamatkan makanan yang masih elok dan berlebihan pada bulan puasa, MYSaveFood Ramadan akan diteruskan ke kawasan pasar malam seluruh negara selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh berkata, ia selepas melihat kejayaan inisiatif program mengurangkan pembaziran makanan di tapak bazar Ramadan itu.
“Kita lihat program MYSaveFood ini amat berjaya dan kita dah ada prosedur operasi standard (SOP), tool kit jadi selepas ini ia akan dipanjangkan pula ke pasar malam dengan kerjasama persatuan-persatuan peniaga.
“Kita akan libatkan juga kita punya Gerakan Pengguna Siswa (GPS) di bawah KPDN yang boleh manfaatkan makanan elok yang berlebihan daripada pasar malam selepas hari raya nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan pada Program Kempen Menyelamatkan Pembaziran Makanan MYSaveFood di Bazar Ramadan RAHMAH (BRR) Bandar Baru Merlimau di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Allex Seah Shoo Chin dan Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar.
Semalam, KPDN melaporkan lebih 18 tan makanan dan minuman yang dijual peniaga di bazar Ramadan diselamatkan dan kemudiannya diagihkan kepada golongan memerlukan di seluruh negara sejak awal Ramadan lalu.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata, peniaga yang ingin menderma secara sukarela di bawah program MYSaveFood tanpa mengharapkan insentif itu juga akan dilindungi undang-undang.
“Di KPDN, kita ada Akta Pelindungan Penderma Makanan yang akan buat peniaga-peniaga ini rasa okay (menderma) berbanding terpaksa buang makanan sebelum ini.
“Kita juga ada SOP dan kerjasama dengan rakan strategik iaitu Pertubuhan Pemuda GEMA Malaysia (GEMA) yang akan memberi advokasi kepada peniaga-peniaga,” katanya.
Tambahnya, antara SOP ditetapkan setiap makanan yang didermakan itu masih elok dan boleh dimakan dalam tempoh dua jam sebelum ia basi. – MalaysiaGazette