KUALA LUMPUR – Tidak masuk akal! Seorang lelaki teraniaya apabila dia dikenakan caj penarikan dan penyimpanan kereta sebanyak RM16,000 walaupun nilai tunggakkan keretanya hanya RM3,200.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Haris, 37, berkata, kejadian itu berlaku pada 31 Mac lalu dan arahan penarikan kereta dibuat oleh syarikat pinjaman berlesen tanpa mengikut lunas undang-undang.
Katanya, dia telah membuat pinjaman kereta dengan syarikat terbabit selama tujuh tahun dan sudah membayar balik lebih 85 peratus pinjaman kereta milik isterinya.
“Sewaktu penarikan kereta dibuat, isteri saya yang memandu kereta itu untuk mengambil anak-anak kami pulang dari sekolah sekitar jam 12.30 hingga 1.00 petang kemudian dia didatangi empat individu tidak dikenali.
“Mereka merampas kereta kami secara agresif di hadapan anak-anak saya dan sebaik mengetahui keadaan itu, saya segera menghubungi pihak syarikat pinjaman itu untuk melunaskan tunggakan.
“Kemudian, saya membayar jumlah tunggakan RM3,600 pada hari yang sama namun apabila saya menerima jadual kelima, saya dapati dikenakan caj yang tidak masuk akal sehingga mencecah RM16,000,” katanya pada sidang media di Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), di sini, hari ini.
Haris yang bekerja sendiri turut mendedahkan pengisian dokuman jadual lima membabitkan caj tunggakan pinjaman (RM3,200.82), caj faedah tunggakan (RM59.57), caj kos penyelenggaraan (RM5,000), caj kos pemilikan semula (RM5,000), caj kos penghantaran semula (RM5,000) dan caj membawa jumlah keseluruhan (RM16,760.39).
“Sebaik saya mengetahui perkara ini, saya terkejut tunggakan saya dikenakan sehingga tiga bulan sedangkan tunggakan hanya dua bulan 21 hari sahaja yang sepatutnya dibayar RM3,200 sahaja.
“Saya menghubungi syarikat pinjaman itu untuk bertolak ansur tentang pembayaran tunggakan saya, namun mereka tidak memberikan kerjasama. Bahkan saya juga tidak tahu di mana kereta saya itu disimpan.
“Walaupun saya sudah membuat pembayaran, namun penarikan yang dibuat itu tidak mematuhi prosedur perbankan kerana notis arahan mahkamah, sebaliknya hanya surat penarikan dari syarikat pinjaman itu,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya memandang serius kes itu yang jelas menunjukkan syarikat pinjaman berlesen terbabit menganiaya peminjam.
Katanya, syarikat itu tidak boleh sewenang-wenangnya mengenakan caj dan menekan peminjam dengan mengenakan kos yang tidak munasabah walaupun peminjam sudah membuat pembayaran yang sepatutnya.
“Saya difahamkan syarikat pinjaman berlesen ini berdaftar di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memberikan pinjaman kepada pengguna.
“Namun, syarikat terbabit telah menganiaya pengguna dengan mengenakan caj tersorok yang tidak munasabah dan penarikan kereta juga dilakukan tanpa mengikut prosedur ditetapkan mengikut Akta Sewa Beli 1967.
“Susulan itu, PPIM menggesa pihak berwajib yang diamanahkan dan kerajaan supaya dapat memantau perkara ini yang telah memberi tekanan ke atas pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, Nadzim berkata, pihaknya bersama mangsa akan membuat laporan polis dan bertemu dengan syarikat terbabit bagi mencari solusi berhubung isu ini.
Selain itu, beliau juga berharap kerajaan dapat memantau pengstrukturan transaksi oleh syarikat pinjaman berlesen di bawah KPKT bagi mengelakkan penipuan dan penindasan terhadap peminjam.
“Yang jadi persoalan sekarang, siapa yang bertanggungjawab dan tetapkan kos simpanan sehingga RM5,000, siapa boleh beri justifikasi?
“Jadi kita akan hantar surat tuntutan (LOD) dan buat laporan polis susulan isu ini kerana apa yang berlaku itu adalah satu bentuk penindasan dan penganiayaan nyata” tegasnya. – MalaysiaGazette