Sebahagian daripada 20 saksi tampil di lobi ibupejabat UMNO Malaysia dengan SD masing-masing sebagai menafikan aduan menerima sogokan daripada Jamal.

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 20 saksi yang disabitkan dengan aduan menyalahgunakan wang oleh Datuk Seri Jamal Md Yunus sepanjang tempoh kempen Pemilihan UMNO 2023 baru-baru ini, tampil dengan surat akuan sumpah (SD) masing-masing.

Seramai 15 daripada mereka datang ke bu pejabat UMNO Malaysia di Menara Dato’ Onn semalam, untuk menafikan dakwaan pihak tertentu, kononnya mereka menerima wang rasuah sebagai ganjaran memberi undi kepada Jamal bago mengekalkan jawatan Ketua Bahagian Sungai Besar.

Wakil kumpulan saksi itu, Mohamed Azlan Basri berkata, tujuan SD dibuat adalah untuk membuktikan tuduhan yang dikenakan ke atas Jamal dan mereka khususnya tidak benar.

Katanya, mereka tidak pernah menerima imbuhan atau sogokan untuk memilih Jamal sebagai Ketua Bahagian itu pada pemilihan berkenaan.

Kandungan SD yang bersifat penafian kepada aduan bahawa mereka menerima wang sogokan.

“Kami juga tidak mengenali individu yang memakai nama Jamil Md Yunos yang dikatakan mewakili pihak Jamal sebagai orang yang ‘membeli’ undi bagi pihak Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu.

“Sebagai perwakilan dalam UMNO Bahagian ini, kami mempunyai hak untuk memilih dan bebas berkempen calon pilihan kami tanpa sebarang pengaruh atau tekanan daripada mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui di lobi Menara Dato’ Onn, di sini, semalam.

Semalam, Jamal dipanggil mengadap Lembaga Disiplin UMNO di ibu pejabat parti itu atas aduan menyalahgunakan wang bagi memperoleh kemenangan dalam perebutan jawatan Ketua Bahagian pada Pemilihan UMNO 2023 baru-baru ini.

Dalam pemilihan itu Jamal mengekalkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar bagi tiga penggal berturut-turut setelah mengalahkan pencabarnya, mantan Menteri Besar Selangor, Mohamad Khir Toyo.

Sebelum pemilihan bermula, Jamal telah diserang oleh Mohamad Khir menerusi platform media dengan dakwaan dan tohmahan Ketua UMNO Bahagian itu masih mahu mempertahankan jawatan itu meskipun kalah 7,000 undi dalam Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu.

Tidak cukup dengan itu, Mohamad Khir juga turut mengeluarkan kenyataan menghina Jamal menerusi tajuk berita, “Amalan gangsterisme rugikan UMNO”.

Bagaimanapun, hal itu mendapat perhatian Lembaga Disiplin UMNO Malaysia yang kemudian memberi amaran keras dan menjatuhkan hukuman salah kepada Mohamad Khir atas penghinaan serta tohmahan itu.

Sementara itu, Jamal memaklumkan, beliau tahu dalang yang membuat aduan fitnah itu terhadapnya kepada Lembaga Disiplin UMNO dan akan membuat laporan polis dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Penyampaian Komen ni dari ABG Otai dia kata… tertuduh bawa saksi bela kerana ini adalah DNA Welanon SEBABNYA di MELAKA berbelas atau berpuloh tahun lalu KM merogol kanak-kanak Melayu mendapat pembelaan party DAP.
    dalam perbicaraan Mahkamah tiba-tiba ada menjerit mengaku MEROGOL KANAK-KANAK itu bukan KM tetapi penjerit itu bersama rakan-rakan melakukan ala-ala kèkah..
    sesiapa boleh mengesahkan peristiwa berlalu itu harap dapat menyebar sumber…

Comments are closed.