KUALA LUMPUR – Seorang buruh dipenjara enam bulan kerana membuat hantaran jelik dalam laman media sosial Facebook dengan menghina Yang di-Pertuan Agong dan membangkitkan isu perkauman.
Hakim, N.Priscilla Hemamalini menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Rahim Abdullah, 49, selepas dia mengaku bersalah atas empat pertuduhan yang disabitkan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan pertama, dia secara sedar didakwa memulakan komunikasi yang jelik sifatnya selepas membuat hantaran menyentuh isu perkauman dengan niat menyakitkan hati orang lain.
Kesalahan itu dilakukan sekitar jam 3.34 petang pada 25 Januari lalu dan ia dibaca orang awam iaitu saksi pada jam 5 petang di sebuah restoran sekitar ibu kota, 8 April lalu.
Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, Abd Rahim didakwa menggunakan akaun Facebook sama iaitu ‘Tuk Chik’ telah membuat komunikasi jelik dengan menghina Agong.
Kesalahan itu pula dilakukan sekitar jam 11.26 pagi pada 2 dan 3 April lalu yang kemudian dibaca di pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, 5 April lalu.
Kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Sesyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama.
Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.
Abd Rahim yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana telah menyesal atas kesalahannya dan memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan.
“Saya minta maaf kepada institusi diraja dan saya tidak berniat untuk buat provokasi kepada mana-mana pihak. Kepada mana-mana pihak yang terasa dengan kenyataan saya, saya mohon maaf,” katanya dalam kandang tertuduh.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon hukuman setimpal supaya perbuatan itu menjadi pengajaran kepada masyarakat.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua bulan bagi pertuduhan pertama manakala penjara empat bulan bagi tiga lagi pertuduhan dengan perintah hukuman tersebut dijalankan secara serentak bermula hari ini. – MalaysiaGazette
Buruh bidang apa orang TUA tu?
kalau binaan setelah tamat kuarantin serta insaf boleh mohon kerja dengan aku. nitizen boleh maklumkan no contact beliau atau ahli keluarga untuk dihubungi diruang ini