Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md, Nor dilihat cuba mencari jalan mudah untuk menambah pendapatan negeri itu dengan menjadi hutan simpan sebagai mangsa.

Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, ketika negeri itu berdepan defisit belanjawan melebih 14 peratus, jalan mudah mengatasinya ialah dengan merobek ekosistem hutan atas nama penerokaan unsur nadir bumi.

Malah, katanya, penglibatan beberapa syarikat dalam penerokaan itu menimbulkan pelbagai persoalan.

“Sehubungan itu, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) wajar ditubuhkan bagi menyiasat sebarang salah laku dan agenda sebenar kerajaan Pas dan Perikatan Nasional (PN) ini.

“Tindakan Menteri Besar membuka jalan kepada penerokaan unsur nadir bumi di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik berisiko besar merencatkan usaha negara ke arah kelestarian alam.

“Laporan berita mengenai kegiatan melombong nadir bumi secara haram di kawasan itu adalah kesan awal “jalan” yang dibuka oleh kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, memandangkan laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) belum dihantar untuk projek penerokaan unsur nadir bumi di Kedah, tindakan Menteri Besar menandatangani MoU dengan syarikat China dan sebuah lagi syarikat tempatan dilihat sebagai langkah terburu-buru.

Bukan itu sahaja, Muhammad Sanusi juga dicabar menjelaskan secara terbuka mengapa Jangka Bakat (Minerals) Sdn Bhd yang baharu berusia tujuh bulan dipilih untuk projek berkenaan yang akan bekerjasama dengan syarikat China, Xiamen Tungsten Co Ltd.

“Persoalan timbul, apakah peranan utama akan dimainkan syarikat Xiamen Tungsten ini dan mungkinkah ia akan menjadi “abang besar” yang berpotensi mengawal sektor nadir bumi Kedah dianggarkan bernilai RM62 bilion?

“Bukankah hasil bumi negeri sepatutnya lebih memanfaatkan rakyat Kedah berbanding syarikat asing?

“Malah, pemilihan Jangka Bakat (Minerals) Sdn Bhd juga amat meragukan. Ini disebabkan pemilik syarikat ini, Datuk Liana Khalid turut disenaraikan sebagai pemilik syarikat yang pernah dinamakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2013,” katanya.

Katanya, Jangka Bakat Sdn Bhd pernah dipilih Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN), sebuah Badan Berkanun Negeri Kelantan bagi menjalankan perlombongan manganese di Kelantan.

Namun, LKAN 2013 mendedahkan beberapa masalah berkaitan syarikat itu termasuk tindakan syarikat yang telah menjalankan operasi perlombongan walaupun belum menandatangani perjanjian yang telah disiapkan YAKIN.

Laporan itu juga, kata Faiz lagi menyatakan, Jangka Bakat Sdn Bhd tidak mematuhi syarat pajakan melombong, selain gagal memulakan operasi perlombongan di salah satu lot yang telah diluluskan.

“Bukan itu sahaja, Muhammad Sanusi harus menjelaskan mengapa lesen untuk projek eksplorasi nadir bumi di Hutan Simpan Bukit Enggang diberikan kepada Prospek Suria Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat yang 80 peratus dikawal oleh seorang warga asing bernama So Loi Fat.

“Kerajaan Kedah seharusnya menghormati ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-70 pada 18 November 2014 untuk sebaik boleh menghindari aktiviti perlombongan di kawasan hutan simpan.

“Penerokaan hasil bumi hutan simpan bukanlah idea bernas memajukan negeri Kedah, apatah lagi mencapai status “the greater Kedah”,” ujar beliau. – MalaysiaGazette