Hasil risikan dan bantuan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) mendapati sebuah bot pancung dengan enam buah enjin 200 kuasa kuda bergerak dalam keadaan mencurigakan di laluan Traffic Separation Scheme (TSS) ke Tanjung Gabang pada pukul 10.20 malam.
Hasil risikan dan bantuan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) mendapati sebuah bot pancung dengan enam buah enjin 200 kuasa kuda bergerak dalam keadaan mencurigakan di laluan Traffic Separation Scheme (TSS) ke Tanjung Gabang pada pukul 10.20 malam.

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menumpaskan cubaan seludup sejumlah 4.8 juta batang rokok kretek pelbagai jenama di perairan muara Tanjung Gabang, Selangor sempena Op Khas Pagar Laut.

Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, rampasan itu dibuat hasil risikan dan bantuan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) selepas  sebuah bot pancung dengan enam buah enjin 200 kuasa kuda bergerak dalam keadaan mencurigakan di laluan Skim Asingan Trafik (TSS) ke Tanjung Gabang pada pukul 10.20 malam tadi.

“Menyedari kehadiran aset Maritim Malaysia, suspek dilaporkan bertindak memecut laju untuk meloloskan diri dan berlaku kejar-mengejar selama hampir 30 minit sehingga bot pancung berkenaan memasuki kawasan paya bakau.

Setelah menghampiri bot berkenaan pada kedudukan 0.05 batu nautika barat laut muara Tanjung Gabang, Selangor, pihak Maritim Malaysia mendapati tekong dan awak-awak telah meninggalkan bot dan berjaya melarikan diri.

“Pemeriksaan ke atas bot pancung tanpa nombor pendaftaran yang berwarna kelabu, menggunakan enam enjin 200 kuasa kuda jenis Yamaha telah membawa kepada penemuan rokok kretek pelbagai jenama,” kata Saiful Lizan yang juga pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia.

Beliau berkata demikian bagi pengumuman kejayaan kes berkenaan di Pejabat Maritim Negeri Sembilan & Melaka yang turut dihadiri Pengarah Maritim Negeri Sembilan & Melaka, Kepten Maritim Iskandar Ishab @ Ishak.

Nilai keseluruhan rampasan rokok kretek termasuk bot pancung dan enam enjin 200 kuasa kuda itu berjumlah sebanyak RM3.3 juta.

“Kesemua rokok kretek berkenaan disyaki diseludup masuk dari negara jiran Indonesia untuk dijual secara haram dalam negara ini.

Kes ini akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967 – Menyeludup masuk rokok ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan/Duti Eksais (Cukai),” jelasnya lagi.

Pada sidang media yang sama, Saiful Lizan menegaskan, Maritim Malaysia akan memperketatkan lagi kawalan di perairan negara dalam usaha mengekang aktiviti jenayah di laut seperti penyeludupan kontraband dan barangan kawalan, penyeludupan serta kemasukan PATI ke dalam negara ini.

“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan sebarang ancaman jenayah yang dilakukan di kawasan maritim negara. Malah kita mengoptimumkan pengoperasian dengan melakukan rondaan di kawasan hotspot khususnya pada musim perayaan Aidilfitri,” katanya lagi.

Beliau juga menyeru kepada orang ramai agar menjadi mata dan telinga Maritim Malaysia dalam menyampaikan maklumat bagi memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan.

Sebarang maklumat, laporkan segera ke talian MERS 999 yang beroperasi secara 24 jam dan Pusat Operasi Maritim Negeri yang berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast